Ziarah raya punca wabak Covid-19 menular di pulau

- Advertisement -

TUMPAT: Sikap tidak bertanggungjawab dengan melarikan diri daripada kawasan Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketatkan (PKPD) ternyata membawa padah kepada penduduk yang tinggal di kawasan pulau di sini.

Menurut penduduk, seorang wanita mengandung berusia 30-an didakwa melarikan diri dari kawasan PKPD Bunut Susu, Pasir Mas untuk menyambut Aidilfitri di Tumpat.

- Advertisement -

“Kami difahamkan wanita tersebut positif Covid-19. Dia juga dikatakan meraikan Aidilfitri dengan melakukan kunjung mengunjung menyebabkan virus menular dalam kalangan penduduk di kawasan kepulauan di Tumpat,” kata seorang penduduk ketika ditemui, hari ini.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dato’ Dr Zaini Hussin, sebanyak 22 kes positif Covid-19 direkodkan setakat Khamis di kawasan kepulauan hasil 80 ujian saringan dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Malah, pihaknya juga mendapati berlaku peningkatan kes mendadak dalam tempoh singkat dengan kadar positif 27.5 peratus.

PKPD akan dilaksanakan di kawasan kepulauan di Tumpat melibatkan Teluk Renjuna, Pantai Haji Nik Mat, Pulau Beluru dan Pantai Suri bermula 22 Mei hingga 4 Jun.

Baru-baru ini, Dr Zaini mendedahkan seorang wanita warga emas ‘melarikan diri’ dari kampungnya di Bunut Susu yang dikenakan PKPD untuk menyambut Aidilfitri di di Pulau Beluru.

Warga emas berusia 60-an itu disahkan positif Covid-19 pada hari raya kedua, juga menyebabkan tujuh lagi ahli keluarga dan saudaranya yang tinggal serumah dijangkiti virus sama.

Kata Dr Zaini, pihaknya mendapati wanita tersebut tiada di rumahnya dalam kampung itu yang dikenakan PKPD mulai 9 hingga 22 Mei ini.

“Siasatan mendapati dia pergi ke rumah saudaranya di Pulau Beluru sebelum laluan keluar masuk kampung tersebut ditutup sepenuhnya,” ujarnya. –HARAKAHDAILY 21/5/2021

- Advertisement -