Two state solution: Israel tidak layan, bukan jalan terbaik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyelesaian dua negara atau two state solution dalam konflik Israel-Palestin bukan jalan terbaik, bahkan hanya kesungguhan sebelah pihak.

Menurut Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, two state solution dalam konflik Israel-Palestin mempunyai impak negatif dan juga positif.

Jelasnya, dari aspek positifnya, Palestin akan mempunyai ruang untuk mendapatkan semula negeri-negeri yang ditawan selain diiktiraf sebagai sebuah negara, mempunyai kerajaan, dibenar menubuhkan kedutaan serta memudahkan saluran bantuan dari negara-negara Islam.

Bagaimanapun, penyelesaian itu tidak dilayan oleh Israel dan perkara tersebut boleh dilihat melalui tindakan Israel yang secara berterusan mengawal Tebing Barat (West Bank).

- Advertisement -

“Kuasa yang ada pada Palestin terlalu sedikit. Bahkan Israel diangkutnya orang-orang Yahudi pindah di situ, datang berama-ramai.

“Terkahir, Israel juga merampas rumah-rumah di Sheikh Jarrah, yang menjadi simbol Baitul Maqdis. Sheikh Jarrah ini mengambil nama sempena Tabib Peribadi Salahuddin Al-Ayyubi.

“Di situ juga merupakan tempat bersejarah kepada umat Islam, dan di situlah rumah Amin al-Husseni, Mufti Palestin. Ini menunjukkan mereka tidak layan two state solution.

“Yahudi tidak layan, kita sahaja yang bersungguh-sungguh,” ujarnya dalam satu wawancara Astro Awani, Dialog Tiga Penjuru: Di Sebalik Senyuman Hamza, semalam.

Sementara itu kata Tuan Guru, pihaknya sebelum ini pernah menjalankan usaha menyatukan negara Arab serta menghentikan ketegangan yang berlaku.

Usaha melalui cara diplomatik itu kata Tuan Guru, tidak membuahkan hasil walaupun melibatkan negara-negara besar seperti Turki, Iran, serta Sudan.

“Memang kita berusaha untuk menyatukan negara Arab, untuk menghentikan ketegangan, perperangan dan saya sendiri terlibat untuk mendamaikan Yaman, Syria.

“Saya pernah terlibat melalui cara diplomatik melalui Turki, Iran melalui rakan-rakan di Sudan, tetapi malangnya usaha itu tidak berhasil,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 21/5/2021

- Advertisement -