
ATAS pertanyaan ramai saya nak maklumkan bahawa kelmarin kami di PPMM telah berbincang isu perundangan di Palestin selama lebih 2 jam. Pelbagai isu, naratif dan ramifikasi setiap tindakan diperhalusi satu persatu.
Kesimpulan secara umum yang diambil antaranya adalah:
1. Pembentukan tiga kluster yang akan mengkaji isu perundangan berkaitan tindakan-tindakan yang boleh diambil di ICC, ICJ dan sanction PBB (termasuk semua resolusi yang telah diluluskan PBB). Kajian tidak dihadkan hanya di ICC sahaja tetapi juga ICJ dan beberapa badan Antarabangsa yang lain.
2. Memanfaatkan sidang Unversal Periodic Review PBB di Geneva termasuk membuat ‘side event’ di Palais des Nations Geneva.
3. Kluster-kluster akan mengkaji semua tindakan yang boleh dilakukan terhadap rejim Zionis.
4. Mengenalpasti negara-negara yang boleh menjayakan misi ini termasuk kesatuan negara seperti OIC, Kesatuan Eropah dan lain-lain, memberi pendedahan, tekanan dan saranan kepada mereka.
5. Bekerjasama dengan badan-badan lain yang telahpun memulakan sebarang inisiatif yang mempunyai matlamat yang sama agar semua tindakan adalah tersusun, tidak berulang ataupun bertentangan antara satu sama lain.
Saya tidak dapat memberikan butiran yang terperinci kerana ia membabitkan strategi kelak. Jadi secara umum sahaja dinyatakan di sini bagi mengelakkan ketirisan maklumat.
Saya juga mengalu-alukan kepada mereka yang ingin membantu dalam apa jua kapasiti, tenaga, material, bahan rujukan dll silalah berhubung dengan saya agar saya dapat aturkan peranan masing masing.
DATO’ HAJI ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
Presiden
Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) – HARAKAHDAILY 21/5/2021











