Kemenangan Palestin tiup semangat perjuangan ummah

Tuan Guru Dato’ Ustaz Hashim Jasi
- Advertisement -

KANGAR: Genjatan senjata yang bermula pagi tadi menandakan kemenangan umat Islam di Palestin mempertahankan tanah air mereka selepas 11 hari diserang zionis Israel.

Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata kemenangan pejuang Islam di Palestin dapat membantu kewujudan kerajaan perpaduan dalam kalangan ummah tanpa mengira bangsa, fahaman politik dan keturunan.

“Suasana politik di seluruh dunia terutamanya di negara umat Islam termasuk negara kita dilihat positif untuk melahirkan kerajaan perpaduan bagi menguatkuan ummah.

- Advertisement -

“Jadi bagi saya kita untung dari sudut itu sebagai contoh di Malaysia, hilang sekejap perhatian kepada wabak Covid di mana umat Islam rata-rata tanpa mengira parti bersatu membawa isu Palestin,” katanya ketika ditemui di sini.

Penduduk di Gaza meraikan kemenangan awal pagi tadi selepas zionis Israel mengumumkan gencatan senjata selepas melakukan serangan ke bumi Gaza selama 11 hari.

Zionis Israel mendapat tentangan hebat pejuang al Qassam dan kumpulan pejuang lain sehingga banyak berlaku kemusnahan di Tel Eviv.

Tuan Guru Hashim juga berkata, jumlah bantuan yang dikumpulkan ahli-ahli dan penyokong PAS menunjukkan kesedaran umat Islam ke arah perpaduan yang semakin memuncak sekarang.

“Jumlah bantuan daripada PAS amat luar biasa jika diikutkan dengan suasana ekonomi sekarang, namun ahli PAS dapat mengumpul jumlah sumbangan hampir RM9 juta.

“Pada awalnya kita hanya menyasarkan jumlah kutipan sebanyak RM2 juta sahaja. Ini menunjukkan kesedaran perpaduan dalam kalangan umat Islam semakin tinggi,” ujarnya.

Oleh itu, beliau meyakini langkah awal PAS dalam menyatukan seluruh umat Islam terutamanya di tanah air sebagai usaha yang paling tepat.

“Saya merasa langkah awal kita menyeru umat Islam supaya bersatu amat postif yang menandakan masa depan Islam di Malaysia dan seluruh dunia sedang bergerak ke arah mencari keredhaan Allah.

“Janganlah kita melihat kehancuran akibat peperangan sebagai satu kerugian, namun peristiwa ini dapat meniup lagi semangat perjuangan dalam kalangan umat Islam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/5/2021

- Advertisement -