
AYER KEROH : Pusat Kuarantin dan Rawatan Kes Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) di MITC Melaka dijangka menerima pesakit seawal Jumaat ini, 21 Mei.
Menurut Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Sulaiman Md Ali, keputusan untuk membuka PKRC ini telah dibuat dalam satu Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka.
Tambah beliau, PKRC itu mampu memuatkan sehingga 1,500 pesakit lelaki dan wanita bagi kategori ringan, iaitu kategori 1 dan 2.
“Jumlah petugas di PKRC MITC seramai 500 termasuk 200 petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lain-lain agensi frontliners,” ujar beliau.
Ketua Menteri Melaka itu berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau selepas mengadakan lawatan ke MITC, semalam.
Turut hadir di dalam lawatan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Dr Hasim Hasan; Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman; Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Datuk Dr Ismail Ali dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, Mohd Nasrul Menhat.
Untuk rekod, 19 Mei, seramai 948 orang pesakit Covid-19 yang berasal dari Melaka masih mendapat rawatan. Sebahagiannya ditempatkan di PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dengan kadar harian yang sudah melebihi 100 kes sehari. – HARAKAHDAILY 20/5/2021











