Penyatuan ummah dalam isu Palestin

- Advertisement -

KETIKA penduduk Palestin di Sheikh Jarrah dihalau daripada penempatan mereka, kita semua merasa marah dengan tindakan penjajah Zionis Israel tersebut.

Alhamdulillah, segala pujian milik Allah yang menjadikan kita bersaudara atas dasar keimanan.

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara,” (Al-Hujurat: 10)

- Advertisement -

Dengan persaudaraan ini kita semua merasai penderitaan saudara-saudara kita di bumi Palestin sama ada tekanan terhadap penduduk Timur Baitulmaqdis di Tebing Barat atau mereka yang menghuni Genting Gaza yang sehingga kini masih diserang tanpa henti.

Hal ini mengingatkan saya satu hadis Rasulullah SAW yang bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِيْنَ فِي تَوَادِّهِمْ ، وَتَرَاحُمِهِمْ ، وَتَعَاطُفِهِمْ ، مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عضْوٌ تدَاعَى لَهُ سائِرُ الجسَدِ بالسَّهَرِ والْحُمَّى

Maksudnya: “Perumpamaan kaum Mukminin dalam saling berkasih sayang, belas kasihan dan tolong menolong sesama mereka adalah seperti satu jasad. Jika salah satu anggota jasad sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit dengan berjaga malam dan demam.” (Sahih al-Bukhari, no.6011 dan Sahih Muslim, no.2586)

Al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi pernah mengingatkan umat Islam, selagi ada iman dalam hati kita, selagi itulah kita akan terus menghulurkan bantuan dan pertolongan kepada umat Islam di mana sahaja mereka ditindas.

Dalam isu Palestin, terbukti bahawa umat ini masih ada persaudaraan atas dasar keimanan. Inilah tanda penyatuan ummah, kita dapat mengetepikan segala perbezaan, dan perselisihan dibiarkan untuk seketika.

Semua pihak berganding bahu menyumbangkan derma jihad dan mengumpulkan dana bantuan. Bagi yang tidak berkemampuan, paling kurang pun merasa sakit dan bersedih dengan apa yang berlaku lalu mengangkat tangan berdoa.

Di seluruh dunia, bukan sahaja kaum Muslimin yang mengutuk keganasan yang dilakukan puak Zionis Israel, bahkan golongan bukan Islam juga turut membantah tindakan yang di luar sifat perikemanusiaan itu.

Kepada saudara-saudara kami di Palestin, bersabarlah! Janji Allah pasti berlaku.

Kepada kaum Muslimin di seluruh pelusuk dunia, teruskanlah berdoa dan menyumbangkan bantuan untuk kemaslahatan saudara-saudara kita di bumi Palestin. Tiada apa pun usaha kita yang rugi dan sia-sia melainkan orang yang tidak melakukan apa-apa. – HARAKAHDAILY 20/5/2021

- Advertisement -