Bukan Muslim sumbang RM27,500 tabung Aid4Palestine

- Advertisement -

KOTA BHARU: Penduduk bukan Islam di Kelantan turut menyumbang dana bagi membantu penduduk Palestin yang kini berdepan kezaliman tentera zionis Israel.

Mereka menyumbang sebanyak RM27,500 sebagai bersolidariti bersama rakyat Kelantan dalam isu kemanusiaan di Palestin.

Timbalan Presiden II Cakna Palestin Abdul Shakur Sharrie berkata, mereka turut menyertai bidaan keris pusaka yang dilelong Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah.

- Advertisement -

Katanya, dua orang daripada mereka menyumbang sebanyak RM20,000 biarpun tidak menang ketika membida tiga keris yang dilelong Mohd Amar.

Kata beliau pembida yang terpilih sebagai pemenang lelongan amal tersebut iaitu bagi keris pertama bernilai RM17,000, keris kedua (RM9,000) dan keris ketiga (RM6,500).

“Proses pembidaan lelongan amal keris melabuh tirainya dan ditutup pada jam 6 pagi Selasa lepas.

“Kesemua hasil lelongan amal yang diuruselia NGO Cakna Palestin akan disumbangkan kepada dana Aid4Palestin,” katanya di sini hari ini.

Shakur yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Lelongan Amal Keris Dato’ TMB Dana Aid4Palestine turut merakam ucapan tahniah kepada pembida yang menang.

Selain itu katanya pembida yang tidak berjaya namun turut menyumbang kepada dana Aid4Palestin sebanyak RM27,500.

Oleh itu kata beliau jumlah keseluruhan yang berjaya dikumpul daripada lelongan amal tersebut berjumlah RM60,000. – HARAKAHDAILY 20/5/2021

- Advertisement -