
ALOR SETAR: Dewan Al-Farabi, Bahagian Teknologi Pendidikan (BTPN) Kedah akan dijadikan sebagai tempat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di daerah Kota Setar.
Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri setuju menjadikan dewan tersebut sebagai PKRC bagi mengantikan Dewan Wawasan, Jitra.
Katanya Dewan Wawasan mempunyai masalah prasarana dan mengambil masa yang panjang untuk diperbaiki.
Kata beliau langkah mewujudkan PKRC penting memandangkan kapasiti ICU di Hospital Sultanah Bahiyah sudah mencecah 92 peratus.
“Jadi saya ingin menasihati tuan-tuan jangan memilih untuk masuk ke ICU kerana tempat itu sudah penuh.
“Tinggal di rumah, jaga SOP, jangan keluar, jangan ambil ringan kepada peningkatan kes Covid-19 varian baharu ini kerana ianya sangat ganas,” katanya selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.
Menurutnya juga varian baru perlu kepada penggunaan oksigen yang tinggi dan berkemungkinan kekurangan oksigen boleh berlaku.
“Saya mencadangkan supaya semua membuat ‘self lockdown’ tidak perlu kepada penguatkuasa untuk pantau. Duduk di rumah, jaga diri masing-masing,” katanya.
Sementara itu Jabatan Kesihatan Kedah menyenaraikan klinik kesihatan yang menjalankan ujian saringan Covid-19 di daerah Kota Setar.
Klinik terbabit iaitu Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar, Klinik Kesihatan Langgar, Klinik Kesihatan Kota Sarang Semut, Klinik Kesihatan Jalan Putra, Klinik Kesihatan Simpang Kuala.
Selain itu Klinik Kesihatan Pokok Sena, Klinik Kesihatan Kuala Kedah, Klinik Kesihatan Alor Janggus, Klinik Kesihatan Dato’ Kumbar dan Klinik Kesihatan Simpang Empat.
Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 28 mukim di daerah Kota Setar, Kedah bermula 19 Mei hingga 1 Jun ini ekoran peningkatan kes Covid-19. – HARAKAHDAILY 19/5/2021











