
KOTA BHARU: Lebih 90 NGO di negara ini bergabung bagi menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin yang ditindas zonis Yahudi di bawah kempen Aid4Palestine.
Presiden Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail berkata, NGO terbabit merupakan jambatan umat yang menyalurkan bantuan dan sumbangan bagi mengerakkan kerja-kerja kebajikan, keamanan dan kemanusiaan.
Katanya, dana yang disalur rakyat Malaysia kepada Palestin menerusi NGO negara ini akan diaudit dan didedah dalam laporan tahunan setiap tahun yang perlu diyakini kerana sumbangan tidak akan diseleweng.
“Dana NGO, dana umat; khidmat NGO, khidmat umat; bantuan NGO daripada umat dan rakyat, NGO adalah jambatan umat di Malaysia mahu pun nonMuslim. Kita adalah organisasi yang dibangunkan di atas kesukarelawan.
“Yakinlah dengan ketelusan, akauntabiliti NGO yang dipantau oleh organisasi dalam kerajaan, mudah-mudahan dengan apa yang disampaikan walaupun satu sen sekalipun sampai kepada orang yang berhak menerima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada perasmian kempen Aid4Palestine secara maya dirasmikan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah yang juga Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Husin berkata, kemaraan Isreal untuk membina sebuah negara di atas tanah rakyat Palestin perlu disekat, bahkan perjuangan NGO yang bergabung dan bakal bersatu kelak akan menumpukan gerak kerja membantu Palestin.
Sementara itu Pengerusi Sekretariat Aid For Paletin, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pihaknya akan memastikan setiap sen yang disalurkan diurus dengan telus serta sampai kepada sasaran yang ditetapkan.
Menurutnya, bantuan tersebut akan meliputi tiga aspek yang akan diberi tumpuan khusus seperti pendidikan, kesihatan dan kebajikan termasuk makanan, kediaman dan sebagainya terjejas kerana keganasan zionis Yahudi.
“Bagi memastikan ia berjalan dengan telus dan tidak seleweng, kita juga sudah mengenal pasti rakan-rakan kita di sana untuk membantu bagi menyalurkan bantuan dan sumbangan rakyat kita kepada rakyat di Palestin.
“Justeru kita melantik dua individu penting seperti Ikrimah Sabri dan Muhammad Nadir al-Nuri Kamaruzaman yang merupakan warganegara Malaysia yang menetap di Gaza membantu penduduk yang terjejas di sana,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/5/2021











