JAM anjur program kebajikan sempena tiga dekad

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sempena sambutan tiga dekad Jabatan Amal Malaysia (JAM), badan sukarelawan itu menyampaikan 30 peralatan rehabilitasi kepada pesakit yang memerlukan.

Sumbangan tersebut termasuk 21 kerusi roda, 9 katil hospital dan tilam di samping peralatan bantuan bernafas, tongkat, bantuan ubat dan keperluan lain.

Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Norazman Ishak berkata, sambutan ulangtahun Jabatan Amal ke-30 sepatutnya diadakan pada 16 Februari lepas.

Namun katanya disebabkan negara berdepan keadaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan sambutan terbabit tidak dapat diadakan.

- Advertisement -

“Jabatan Amal Pusat mengambil keputusan untuk meraikan dengan pelbagai program kebajikan sepanjang tahun ini.

“Jawatankuasa program yang diketuai Ketua Pegawai Tadbir JAM iaitu Khairul Anuar Ismail dengna menganjur sambutan dengan pendekatan yang berbeza,” katanya di sini.

Menurutnya juga nilai keseluruhan peralatan rehabilitasi yang disumbang dianggar sebanyak RM100,000 hasil sumbangan orang ramai, NGO dan Tabung Kebajikan Jabatan Amal.

Norazman juga berkata, katil hospital dan tilam disumbang kepada Muhammad Jazli Abdul Rahim yang mengalami kecacatan otak di Kampung Mengkuang Titi, Pulau Pinang.

Katil tersebut disampaikan Norazman dan Ketua Pemuda PAS Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan baru-baru ini.

“Inisiatif itu adalah usaha berterusan Jabatan Amal Malaysia di seluruh negara yang merupakan gerak kerja kebajikan yang dilakukan sejak 30 tahun lalu,” ujarnya.

Selain itu Jabatan Amal uga menyampaikan bantuan makanan kit barangan dapur kepada lebih 1,000 penerima keluarga asnaf di seluruh negara.

Manakala Jabatan Amal Selayang, Muslim Care Malaysia dan Pertubuhan Rescue Ummah menyantuni anak-anak yatim dengan penyampaian sumbangan baju raya yang diadakan di Dataran Templer Bandar Baru Selayang.

Turut hadir pada program berkenaan Zulkifli dari Muslim Care, Yang Dipertua PAS Selayang Zaidy Abdul Talib dan Pengarah Jabatan Amal Malaysia Shehdi Hazrik Shamsudin.

Seramai 50 anak yatim sekitar kawasan Selayang menerima sepasang baju raya disumbang Jabatan Amal dan NGO terbabit. – HARAKAHDAILY 10/5/2021

- Advertisement -