Temui asnaf selepas kaki tidak dapat diselamat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Simpati dengan nasib yang menimpa golongan asnaf NGO Third Force akan memperluaskan agenda kebajikan menerusi bantuan pengurusan jenazah untuk golongan terbabit yang meninggal dunia di hospital.

Pengasasnya, Raja Shamri Raja Husin berkata, bantuan kebajikan pengurusan jenazah itu bertujuan memenuhi kemaslahahan golongan asnaf bagi meringan beban mereka.

Katanya, bantuan kebajikan pengurusan jenazah itu turut mendapat kerjasama Pusat Islam Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian bagi membantu mengurus jenazah asnaf yang meninggal dunia di hospital.

- Advertisement -

“Program seperti itu sudah Third Force laksanakan sebelum ini. Kami juga akan membantu menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf bagi membiayai kos rawatan termasuk pembedahan dan pemulihan.

“Ini kerana tidak semua asnaf mampu untuk menanggung kos pengurusan jenazah dan ia merupakan tanggungjawab NGO untuk membantu meringan bebanan mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Ihya Ramadan di Rumah Ronald Mc’Donald HUSM di sini semalam.

Kata beliau juga bantuan pesakit asnaf sekurang-kurangnya dapat meringan beban HUSM untuk merawat pesakit-pesakit berkenaan.

Raja Shamri juga berkata, misi bantuan asnaf tersebut penting bagi mengelakkan golongan berkenaan terpinggir.

“Kita masih ingat kes seorang pesakit patah kaki tidak mampu mendapat rawatan kerana kos tinggi sehingga tertangguh berbulan-bulan.

“Kami jumpa pesakit terbabit dan hulurkan bantuan, malangnya pada masa itu doktor memberitahu kaki dia sudah tidak dapat diselamatkan,” ujarnya.

Menurutnya peristiwa yang berlaku itu amat menyedihkan kerana pihaknya tidak mendapat maklumat awal berkaitan pesakit asnaf terbabit. – HARAKAHDAILY 29/4/2021

- Advertisement -