Sebak, sayu lihat anak kecil tanpa ibu bapa

Foto daripada Facebook Siti Zailah Mohd Yusoff.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff merasa sebak dan sayu melihat dan mendukung anak-anak yang masih kecil tanpa ibu bapa.

Situasi itu dilalui beliau ketika melawat Rumah Kanak-kanak Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar.

“Sebak dan sayu sungguh rasa hati saya melihat dan mendukung anak-anak yang masih kecil tanpa ibu bapa di Rumah Kanak-kanak Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar, Perak ni,” tulisnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, anak-anak kecil itu ditinggalkan oleh ibu bapa mereka di atas pelbagai sebab seperti terlibat dengan jenayah, tidak mampu memelihara dan ada yang membuang anak.

“Saya bersyukur kerana di negara kita adanya institusi seperti rumah kanak-kanak ini untuk menjaga dan menjadi tempat untuk mereka menumpang kasih sayang dan berlindung,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Beliau turut sempat mentahnik dua orang bayi tanpa ibu bapa di sisi dan berharap supaya mereka menjadi manusia yang berjaya di dunia dan akhirat.

“Sungguh, menatap wajah anak-anak yang tak bersalah ini membuat hati saya sedih dan sayu,” katanya lagi.

Menurut Siti Zailah, antara rutin yang dilakukan selepas bersahur dan solat Subuh dengan penghuni institusi ialah mengadakan mesyuarat Subuh dan perbincangan bagi mengetahui apakah masalah yang dihadapi.

“Pagi tadi saya telah bertemu dengan pegawai-pegawai di institusi kanak-kanak Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar untuk mendengar pelbagai isu dan alhamdulillah banyak perkara dapat selesaikan segera.

“Saya yakin Allah pasti akan membalas jasa mereka yang telah banyak berkorban dalam menunaikan amanah menjaga anak-anak yang dibuang, terbiar dan pelbagai masalah lagi dengan kebaikan di dunia dan akhirat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/4/2021

- Advertisement -