
KUALA LUMPUR: Menjadi persoalan berapa ramai pelajar yang membaca, mengikuti dan mempraktiskan buku panduan yang dilengkapi dengan pelbagai perkara membabitkan urusan seorang pelajar dalam meniti kehidupan.
Pengerusi Sinergi Gerakan Mahasiswa (SIGMA) Nur Amirah Mohd Yahya berkata, al-Quran menjadi panduan yang sangat jelas sebagai manual untuk menjalani kehidupan.
“Pemilik kepada undang-undang dunia dan perkara-perkara ghaib ini ialah Allah SWT yang berhak mencipta dan menggubal undang-undang sekolah mahupun pihak yang berkuasa ke atas sekolah tersebut.
“Dia mengetahui bahawa akal dan kemampuan tenaga manusia tidak akan mampu memahami seluruh urusan alam ini maka Allah SWT mengutuskan para rasul untuk membimbing manusia memahami buku-buku panduan ini mengikut zaman mereka,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, pada Khamis.

Menurutnya, pelbagai isu keruntuhan akhlak dan moral dalam kalangan anak muda kini semakin membuak-buak timbul satu persatu dan ia diberitakan.
Bahkan menjadi barah lagi apabila kalangan itu berstatus seorang Muslim yang dibesarkan oleh ibu bapa beragama Islam yang ada terjerumus ke dalam lembah zina seawal usia begitu muda seolah-olah tiada bimbingan dan pantauan daripada ibu bapa mereka.
Manakala, budaya mengikuti trend Barat yang berunsur jahiliah semakin berleluasa, seolah-olah begitu bangga apabila dikatakan mengikuti arus pemodenan dengan meninggalkan warisan amalan dan nilai Islam.
Tambahnya, sama ada dari sudut pakaian, tingkah laku, percakapan, kehidupan berkeluarga, bermasyarakat, berpolitik dan lain-lain lagi.
Namun demikian, ini hanyalah sebahagian kesan yang terpamer apabila ajaran Islam ditinggalkan apatah lagi ditolak begitu sahaja.
“Maka, bersempena dengan bulan yang mulia ditambah pula dengan hari yang barakah ini iaitu Nuzul al-Quran, ayuh bersama kita pasakkan niat dan azam untuk terus mendampingi al-Quran.
“Mudah-mudahan menjadi asbab hidayah kepada diri kita serta dikategorikan sebagai hamba Allah yang diredhaiNya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 29/4/2021











