
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan sepenuhnya bermula pada tahun ini.
Menteri Kanan Pendidikan Dato’ Dr. Radzi Jidin berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kajian dan libat urus yang dibuat bersama pihak berkepentingan.
Menurutnya, kementerian dalam usaha memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) secara menyeluruh pada tahun ini.
“Kemasukan asrama adalah berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).
“Manakala bagi murid berkeperluan khas, selari dengan pemansuhan UPSR, PASR juga dimansuhkan dan penilaian akan dilaksanakan di peringkat sekolah melalui Pentaksiran Bilik Darjah (PBD),” katanya pada sidang media khas di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Radzi turut memaklumkan tidak ada peperiksaan ganti bagi murid Tahun 6.
Sementera itu, kementerian juga membuat ketetapan bahawa Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan untuk tahun 2021.
Katanya, ia mengambil kira masa yang ada bagi murid-murid untuk membuat persedian khususnya secara bersemuka bersama guru-guru di sekolah.
“Jika kita lihat keadaan penularan Covid-19 masih belum dapat ditangani sepenuhnya dan mengambil kira keadaan semasa. Tanpa pelaksanaan PT3 untuk tahun ini, kaedah pentaksiran murid terus dilaksanakan.
“Jadi untuk 2021 sepertimana juga untuk tahun 2020 sebelum ini pentaksiran murid adalah berdasarkan PT3 kompenan utama iaitu PBD, PPSI dan juga PAJSK,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 28/4/2021











