Maritim Kuala Perlis beku cuti kakitangan

- Advertisement -

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis membekukan cuti pegawai dan kakitangan bagi melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, pembekuan cuti demi memastikan keselamatan perairan negara terpelihara.

- Advertisement -

Katanya ia membabitkan seramai 47 pegawai dan anggota Zon Maritim Kuala Perlis bagi terus meningkatkan rondaan membanteras jenayah di perairan sempadan negara sepanjang Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Kata beliau anggota ditugaskan menjaga sektor operasi Zon Maritim Kuala Perlis yang berkeluasan 378.30 kilometer persegi dan panjang pantai 19.45 kilometer atau 10.5 batu nautika.

“Lokasi itu termasuk empat kawasan titik panas yang dikenal pasti menjadi lubuk salah laku jenayah.

“Pemantauan dan penguatkuasaan diberikan pada waktu puncak ketika berbuka puasa dan solat tarawih berikutan perkembangn aktiviti salah laku jenayah sering dilakukan pada waktu berkenaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya juga Zon Maritim Kuala Perlis memberi tumpuan di kawasan sempadan negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan daun ketum, dadah, mercun, bunga api dan barang-barang kawalan yang lain.

Selain itu membendung pergerakan penyeludupan keluar masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari negara jiran.

Kata Mohd Shafie juga program Kampung Angkat Maritim Malaysia yang dilaksanakan banyak membantu pihaknya mengesan aktiviti mencurigakan dengan menjadi ‘mata dan telinga’ menyalurkan maklumat perlakuan jenayah di laut.

Orang ramai boleh melaporkan sebarang kecemasan di laut atau aktiviti yang mencurigakan ke talian kecemasan Maritim Malaysia menerusi talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis 04-985 1072 atau 04-985 1162. – HARAKAHDAILY 28/4/2021

- Advertisement -