
SEMALAM saya hadir ke Majlis Penyerahan Hadiah Promosi Bayar dan Menang Program 2 PTPK di Dewan Merdeka PWTC. Turut hadir merasmikan program ini ialah YB Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia.
Di dalam ucapan saya antara lain saya menyatakan bahawa PTPK telah bersedia untuk melaksanakan pembiayaan secara patuh syariah pada tahun ini dan dijangka ia bermula 1 Jun 2021 untuk pinjaman baru. Manakala proses untuk mengubah pinjaman lama kepada pinjaman patuh syariah dijangka mengambil masa dua minggu sehingga sebulan selepas itu.
Saya benar-benar berterima kasih kepada pasukan yang telah membantu untuk merealisasikan hasrat ini. Satu tahun bermula April 2020, saya menyatakan hasrat ini kepada pihak pengurusan PTPK dan daripada detik itulah, pasukan ini dibentuk dan berhempas-pulas mencari penyelesaian untuk memastikan pembiayaan patuh syariah ini dapat dilaksanakan.
Jika PTPTN berjaya melaksanakan pinjaman patuh syariah dalam tempoh 8 tahun, kami jadikan PTPTN sebagai guru kami dan alhamdulillah, banyak perkara yang boleh dipelajari walaupun PTPK dan PTPTN tidak sama modelnya.
Terima kasih Dr Azrul Azlan dan pasukan. Terima kasih Ketua Eksekutif PTPK, Encik Mohd Fathullah bin Mustafa dan pasukan, juga tentunya tidak lupa kepada YB Datuk Seri Menteri dan rakan-rakan ahli Lembaga Pengarah yang memberikan kepercayaan sepenuhnya untuk melaksanakan program ini.
Teks penuh ucapan saya ialah seperti berikut:
Terima kasih diucapkan kepada Saudari Pengacara Majlis, Pn Fatihanum Binti Md Salih.
Yang Berhormat Datuk Seri M. Saravanan
Menteri Sumber Manusia
YBhg Dato’ Jamil Bin Rakon
Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Manusia
YBhg. Dato’ Dr. Ananthan A/L Somasundaram
Selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa Bayaran Balik
Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran
YBhg Datuk Muhd Khair Razman bin Mohamed Annuar
Timb. Ketua Setiausaha (Operasi), Kementerian Sumber Manusia
YBrs Encik A. Maniam
Timb. Ketua Setiausaha (Dasar & Antarabangsa),
Kementerian Sumber Manusia
Yang Berusaha Encik Mohd Fathullah bin Mustafa
Ketua Eksekutif
Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran
Ahli Lembaga Pengarah PTPK
Ketua-ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Kanan KSM, Pegawai-pegawai PTPK,
Datuk, Datin, wakil-wakil media, tuan-tuan, puan-puan sekalian terutamanya yang diraikan, para pemenang Program Promosi Bayar dan Menang: Program 2, PTPK dan Anak-anak daripada Pusat Jagaan Nur Iman, Kuala Lumpur
Assalamualaikum W.B.T dan salam sejahtera.
Terlebih dahulu, marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan hidayah dan ‘inayahNya, kita dapat berkumpul dalam majlis yang penuh makna dan berbahagia ini, iaitu Majlis Penyampaian Hadiah Bayar dan Menang PTPK: Program 2.
Untuk makluman hadirin sekalian, Majlis pada hari ini bukan sahaja meraikan pemenang-pemenang Program Bayar dan Menang Tahun 2021 tetapi kita juga meraikan anak-anak yatim daripada Pusat Jagaan Nur Iman, Kuala Lumpur yang saya difahamkan lebih kurang 36 orang hadir pada majlis kita pada hari ini. Selain itu, PTPK juga dengan berbesar hati memberikan sumbangan duit raya kepada ibu tunggal dan anak-anak yatim PTPK sempena menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Polisi, Keputusan dan Moving Forward PTPK
Untuk makluman hadirin sekalian, Bajet Tahun 2021, Kerajaan telah memperuntukkan dana pinjaman latihan kemahiran kepada PTPK sebanyak RM270 juta bagi membiayai 24,000 orang pelatih yang mengikuti latihan kemahiran di Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Swasta (ILKS) di bawah Skim Pinjaman TVET;
YB Menteri Sumber Manusia dan Lembaga Pengarah PTPK juga telah bersetuju untuk memperuntukkan dana pusingan bayaran balik pinjaman TVET ini sebanyak RM100 juta untuk digunakan sekiranya jumlah peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan tidak mencukupi. Ini bermakna, secara keseluruhannya PTPK telah diluluskan peruntukan pinjaman latihan kemahiran bagi tahun 2021 sebanyak RM370 juta di bawah Skim Pinjaman TVET;
Kriteria Pengagihan Peruntukan Tahun 2021 adalah berdasarkan kelulusan kapasiti oleh JPK bagi semua Skim Pinjaman dan Pembiayaan Latihan Kemahiran (termasuk PL baharu dan program baharu) berdasarkan konsep kuota terbuka dan first come first serve basis berdasarkan kepada siling peruntukan sedia ada. Peruntukan yang besar pada tahun ini merupakan komitmen Kerajaan untuk meneruskan agenda memperkasakan TVET dalam negara terutama melatih belia atau golongan muda untuk mengikuti latihan kemahiran. Oleh yang demikian, PTPK berharap agar peruntukan yang telah diluluskan ini, pelatih yang mengikuti latihan kemahiran di Penyedia Latihan yang berdaftar dengan PTPK dapat dimanfaatkan sepenuhnya;
Setakat ini, PTPK telah meluluskan pengagihan peruntukan adalah sebanyak RM557.18 juta iaitu 206.36 peratus melibatkan 42,119 kapasiti. Namun, sehingga 20 April 2021, PTPK hanya meluluskan permohonan pinjaman latihan kemahiran kepada pelatih yang layak di bawah Skim PLS berjumlah RM38.32 juta untuk membiayai seramai 2,975 pelatih;
Ini bermakna bermula 20 April 2021, PTPK telah menerima peruntukan tambahan sebanyak RM135 juta untuk suku tahun kedua tahun 2021. Saya mewakili PTPK merakamkan ucapan terima kasih kepada YBhg Dato’ KSU dengan penyaluran peruntukan ini. Sebagai maklumat tambahan, terdapat sebanyak 568 PL berdaftar yang merangkumi sebanyak 980 kelulusan program yang boleh dibiayai oleh PTPK;
Hadirin yang dihormati sekalian,
Oleh yang demikian, PTPK telah membuat sasaran prestasi pembayaran dana bagi tahun 2021 adalah sebanyak 80 peratus daripada dana yang diagihkan. Ini bermakna PTPK perlu meluluskan sekurang-kurangnya RM330 juta bagi membolehkan PTPK membuat bayaran penuh dana berjumlah RM270 juta. Saya juga merakamkan ucapan tahniah kepada pimpinan baru PTPK iaitu Encik Mohd Fathullah bin Mustafa selaku Ketua Eksekutif PTPK kerana telah menyemak semula dan meminda piagam pelanggan daripada 28 hari kepada 7 hari proses pembayaran pinjaman latihan kemahiran berkuat kuasa mulai 1 April 2021.
Untuk makluman hadirin sekalian, Lembaga Pengarah PTPK juga bersetuju dengan cadangan Penambahan Kadar Pinjaman Latihan Kemahiran Bagi Kenaikan Elaun Sara Hidup dari RM400.00 sebulan kepada RM600.00 sebulan. Selain itu, PTPK juga telah memperkenalkan elaun kemudahan Pengangkutan secara one off sebanyak RM2,000 kepada peminjam di bawah Skim TVET dan Skim Pinjaman Pekerja. Kedua-dua elaun ini merupakan pilihan kepada peminjam atau pelatih sekiranya mereka bersetuju komponen tambahan ini dimasukkan ke dalam yuran latihan mereka.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Beberapa lagi inisiatif dan cadangan telah diputuskan oleh ALP PTPK bagi menambahbaik perkhidmatan yang diberikan oleh PTPK bagi membantu rakyat antaranya kelulusan Pengecualian Syarat Pendapatan Kasar Ibu Bapa atau Penjaga dan berkuatkuasa 1 April 2021 pinjaman penuh akan diberikan kepada semua peminjam yang diluluskan sepanjang tahun 2021.
Selain itu, ALP PTPK juga bersetuju dengan cadangan meminda syarat penjamin bagi Skim Pinjaman TVET dari dua (2) orang penjamin kepada satu (1) orang penjamin bagi pinjaman melebihi RM24,000.00 dan maklumat penjamin kedua diganti dengan maklumat orang yang boleh menjadi rujukan pelatih. Keputusan ini dibuat kerana terdapat banyak rintihan dan keluhan yang kita dengar daripada peminjam dan ibu bapa atau penjaga yang sukar mencari penjamin bagi permohonan pinjaman anak-anak mereka.
Hadirin Sekalian,
Selain itu, PTPK juga telah mengemukakan cadangan perluasan skop pinjaman latihan kemahiran bagi pinjaman Pembelian Komputer Riba Kepada Pelatih Di Bawah Skim Pinjaman Lepasan Sekolah secara pilihan sebanyak RM2,500 bagi mendepani cabaran pengajaran dan pembelajaran semasa COVID-19 untuk mengelakkan pelatih tercicir daripada mendapatkan latihan serta menyokong hasrat Kerajaan bagi memperkasakan penggunaan teknologi digital di kalangan rakyat. Status terkini perkara ini masih menunggu kelulusan daripada EPU, JPM;
Di bawah Rolling Plan ke 2 (RP2) Tahun 2022 Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKE-12), PTPK telah bersetuju dan mengemukakan cadangan meluluskan peruntukkan sebanyak RM110 juta di bawah Program atau Projek Skill & Technical Enhancement Programme (STEP) kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM). Untuk makluman hadirin sekalian, program atau projek ini merupakan projek gabungan yang telah ditambah baik daripada program terdahulu iaitu Pembiayaan Kepada Golongan Pekerja dan Future Workers (GPFW) dan Malaysian Meister Programme (MEISTER) di bawah Rancangan Malaysia Ke Sebelas (RMKE-11) terdahulu.
Hadirin sekalian,
Pada tahun ini juga PTPK menggalakkan Penyedia latihan untuk menjalankan latihan kemahiran secara modular dan secara Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) di bawah Persijilan Kemahiran Malaysia, JPK bagi memenuhi permintaan dan keperluan tenaga kerja mahir oleh majikan atau industri. Ini merupakan antara beberapa cabaran yang kita lontarkan kepada Penyedia Latihan (PL) PTPK untuk sama-sama kita membantu dalam memenuhi keperluan tenaga kerja mahir Negara.
Kita berharap PL akan menyahut cabaran ini di mana program yang dilaksanakan ini boleh dilaksanakan secara hibrid sama ada secara bersemuka atau secara dalam talian (virtual) bagi membantu pelatih meneruskan latihan kemahiran dan menamatkan latihan dalam tempoh yang ditetapkan.
Memperkemas Dan Memperkasa Strategi Kutipan Bayaran Balik Pinjaman Latihan Kemahiran
Hadirin sekalian
ALP PTPK juga serius dan komited dengan kutipan bayaran balik pinjaman PTPK demi mewujudkan kesinambungan kepada dana pusingan yang telah diberikan oleh Kerajaan. Untuk makluman hadirian sekalian, sepanjang tempoh dunia dilanda pandemik COVID-19, PTPK dilihat telah membantu golongan terjejas dengan memberikan moratorium pembayaran balik mulai 1 April 2020 hingga 31 Mac 2021. Pemberian moratorium ini ternyata meringankan beban peminjam PTPK sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kutipan bayaran balik sehingga 31 Mac 2021 adalah sebanyak RM15.35juta iaitu 10.23 peratus berbanding sasaran kutipan bayaran balik tahun ini sebanyak RM150 juta.
Untuk itu, saya amat menyokong tindakan Ketua Eksekutif dengan strategi memperkukuhkan dan memantapkan lagi kutipan bayaran balik pinjaman pada tahun ini, beberapa perubahan perjawatan telah dipinda dan berlaku pertukaran serta pusingan kerja di mana perubahan beberapa orang pegawai di Bahagian Bayaran Balik termasuk pengukuhan Cawangan Penguatkuasaan dan Perundangan bagi tujuan mencapai sasaran kutipan bayaran balik ke tahap yang maksima bagi Tahun 2021. Kita sama-sama berdoa agar usaha dan inisiatif serta strategi yang telah dirangka oleh Ketua Eksekutif dan pegawai-pegawai di PTPK akan berhasil nanti. Insya-Allah.
Hadirin sekalin,
Perancangan Masa Depan PTPK
Pembiayaan Patuh Syariah
Sejak mula beroperasi pada 2 Januari 2001 sehingga kini, PTPK masih menggunakan sistem kewangan konvensional khususnya dalam sistem pengurusan pinjaman latihan kemahiran. Sehubungan dengan itu, saya telah menyatakan hasrat kepada kepada YB Menteri Sumber Manusia sebelum ini untuk melaksanakan pembiayaan secara patuh syariah. Alhamdulillah beliau tiada halangan dan PTPK dijangka akan melaksanakan pembiayaan secara patuh syariah berkuat kuasa 1 Jun 2021.
Pelaksanaan dasar pengurusan pembiayaan latihan kemahiran patuh syariah ini akan menepis persepsi yang mengatakan bahawa PTPK mengenakan caj pentadbiran yang tinggi dan terkait dengan amalan riba.
Pendigitalan PTPK
Bagi meningkatkan lagi mutu pencapaian perkhidmatan kepada pelanggan, PTPK melalui Pelan Strategik tahun 2021-2025 telah merangka pelan pendigitalan PTPK. Perkara ini dilaksanakan bagi memudahkan urusan perkhidmatan PTPK ke arah yang lebih efektif dan efisien.
Perpindahan Bangunan
Untuk makluman semua, PTPK bercadang untuk berpindah ke Menara Ikhlas, Putrajaya dalam masa terdekat. Keputusan perpindahan ini adalah persetujuan secara bersama setelah mendapat kelulusan Lembaga Pengarah.
Hadirin Sekalian,
Saya sebenarnya tidak bercadang untuk bercakap dengan panjang lebar di dalam majlis ini dan ingin memberi laluan kepada YB Menteri Sumber Manusia untuk menyampaikan ucapan dan amanat beliau dan seterusnya merasmikan majlis kita pada hari ini.
Sebelum saya mengundurkan diri, rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua hadirin yang beragama Islam. Semoga Ramadan tahun ini memberi lebih banyak ganjaran dan pahala kepada kita semua.
Akhirnya kata, marilah kita bersama-sama sentiasa memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T di atas segala nikmat dan rezeki kurniaanNya selama ini.
Sekian, Assalammualaikum dan terima kasih.
AHMAD FADHLI SHAARI
Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) – HARAKAHDAILY 27/4/2021











