Kompaun mesti mengikut garis panduan

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Pindaan yang dibuat terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) adalah untuk menaikkan kadar kompaun yang boleh dikenakan bagi sesuatu tindakan atau perbuatan yang menjadi kesalahan kerana menyebabkan penularan wabak Covid-19 dalam negara ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, namun begitu langkah mengenakan kompaun di bawah akta tersebut mesti dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan telah menggubal Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun di bawah Akta 342 untuk dijadikan panduan kepada pihak penguatkuasa yang menjalankan penguatkuasaan pematuhan SOP yang ditetapkan.

Menurutnya lagi, mengikut garis panduan tersebut, perbuatan seseorang pemegang lesen dan pemilik premis yang gagal mematuhi waktu operasi premis merupakan kesalahan kategori tiga yang boleh dikenakan kompaun maksimum RM10,000.00.

“Pesalah-pesalah pula diberikan kadar pengurangan sebanyak 50 peratus sekiranya membayar kompaun tersebut dalam tempoh tujuh hari dan 25 peratus sekiranya dalam tempoh 14 hari,” jelasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Katanya, segala tindakan mengenakan kompaun bagi kesalahan-kesalahan di bawah undang-undang adalah semata-mata bertujuan pencegahan dan memberi pengajaran kepada pelaku-pelaku agar semua pihak individu mahupun peniaga sama-sama bertanggungjawab dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 dalam komuniti yang masih lagi berada di peringkat kritikal dan serius. – HARAKAHDAILY 27/4/2021

- Advertisement -