
ALOR SETAR: Kerajaan Kedah komited membasmi jangkitan malaria walaupun hanya terdapat satu kes sahaja di negeri itu setakat ini.
Exco Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Dr Mohd Hayati Othman berkata, walau pun tiada jangkitan malaria terhadap manusia namun zoonatic (malaria haiwan) masih ada dan berpotensi berjangkit kepada manusia.
“Walau kita hanya ada satu kes sahaja di Kedah tetapi malaria haiwan Zoonatic boleh berjangkit kepada manusia.
“Nyamuk yang membawa malaria aktif di waktu malam hingga pagi tidak seperti Aedes yang aktif pagi dan petang,” kata beliau pada sidang media selepas melancarkan sanbutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Negeri Kedah di Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) semalam.
Menurutnya juga penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran hutan seperti kebun-kebun getah, kawasan pembalakan dan sebagainya perlu mengambil langkah berwaspada.
“Pakai baju berlengan panjang dan lebih baik tidur di dalam kelambu untuk mencegah gigitan nyamuk,” ujarnya.
Justeru itu sempena pelancaran Hari Malaria Sedunia di negeri itu yang disambut setiap 25 April, pameran berkenaannya malaria diadakan bertempat di Aman Sentral dan Menara Alor Setar.
“Saya ucapkan terima kasih kepada syarikat dan agensi-agensi terbabit yang bersama-sama menjayakan pameran itu,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 26/4/2021











