
KULIM: Kewujudan Tahfiz Mandarin Utara atau International Mandarin Tahfiz Academy (IMTAC) merupakan penghormatan buat warga Kulim, kata Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Kulim, Firdaus Ang.
Menurutnya, menjadi satu penghormatan apabila Kulim terpilih menjadi salah satu lokasi penubuhan Maahad Tahfiz Mandarin di seluruh Malaysia.
Beliau mewakili MACMA menyokong penuh usaha tersebut dan sentiasa memberi sokongan padu terhadap kerja-kerja dakwah yang diusahakan oleh Pengasas IMTAC, Ustaz Muhammad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad China (UMC).
Selain itu, beliau turut berharap kewujudan IMTAC dapat menjadi satu peluang dan ruang untuk pelajar-pelajar tahfiz mendalami ilmu agama selain mempunyai kemahiran berbahasa Mandarin.
Hal ini kerana beliau yakin, penguasaan bahasa Mandarin dapat memberi satu nafas baharu terhadap pelajar-pelajar tahfiz setelah melangkah ke alam dewasa atau pekerjaan nanti.
“Harapan (saya) supaya anak cucu kita di masa akan datang dapat menimba ilmu dalam bahasa Mandarin khususnya. Kerana bahasa Mandarin sekarang anatara yang termahsyur di dunia selepas bahasa Inggeris.
“Kerana masyarakat di dunia sedang mengejar (penguasaan bahasa Mandarin), satu peluang yang amat luas untuk anak-anak kita yang daang belajar sini, berkecimpung dalam dunia pekerjaan di masa akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa IMTAC bersama waris pelajar di Kulim, di sini, pada Sabtu.

“(Saya menyokong) daripada belakang tabir, saya bagi sokongan kepada ustaz (UMC), termasuk mencari khemah dan meja ini, saya usaha tanya kepada kawan-kawan untuk dapatkan harga yang speacial,” tambah beliau.
Mengulas mengenai perkembangan MACMA kata Firdaus, MACMA kini giat menjalankan aktiviti kebajikan dan edaran sumbangan bagi membantu mereka yang memerlukan.
Katanya, beliau sendiri secara aktif berusaha menjalankan kerja-kerja dakwah melalui program-program kebajikan dalam masa tiga tahun. –HARAKAHDAILY 26/4/2021











