Harga ayam: Exco minta penguat kuasa pantau pemborong

Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kenaikan harga ayam sejak kebelakangan ini perlu disiasat secara menyeluruh di peringkat pemborong kerana mereka masih gagal mematuhi cadangan harga ditetapkan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata banyak peniaga mengadu telah ditindas ekoran harga  diperolehi daripada pemborong lebih tinggi berbanding yang ditetapkan.

“Tinjauan saya ke Pasar Besar Kedai Payang mendapati semua peniaga ayam dan ikan mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 yang berkuat kuasa sejak 21 April lepas. Namun, margin keuntungan jualan runcit mereka sangat kecil kerana berlaku ketidakpatuhan harga di peringkat pemborong.

- Advertisement -

“Sebagai contoh, harga maksimum ayam standard yang ditetapkan kerajaan untuk pemborong ialah RM7.10 tapi mereka menjualnya  kepada peniaga dengan harga RM7.50, ada yang dapat RM7.80 sedangkan harga saranan runcit RM7.90. Ini bererti ada peniaga yang untung RM0.10 sahaja,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu terus memantau harga di peringkat pemborong secepat mungkin agar peniaga dapat menarik nafas lega dengan skim harga yang ditetapkan sepanjang musim perayaan ini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa hampir sejam membuat tinjauan harga dan beramah mesra dengan peniaga di pasar tersebut. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia.

Sementara itu, beberapa peniaga ayam yang ditemui Bernama mengakui mereka terpaksa berpuas hati dengan keuntungan kecil ketika ini walaupun harga dijual sangat tidak setimpal demi mengelak dikenakan hukuman sekiranya menjual lebih tinggi daripada harga ditetapkan.

Peniaga, Nur Hasanah Zahari, 31, berkata keuntungan diperolehi hanya RM0.10 untuk setiap sekilogram ayam yang dijual kerana harga diperolehi daripada pemborong ialah RM7.80.

“Apa boleh buat, kami terpaksa ikut harga dalam skim kawalan iaitu RM7.90, cuma saya bersyukur kerana ada juga pembeli yang prihatin dan faham dengan situasi ini sanggup membayar lebih bagi mewujudkan situasi menang-menang.

“Memang harap sangat kerajaan dapat selesai cepat masalah ini, tidak sanggup rasanya kalau berpanjangan kerana memang tidak berbaloi,” katanya yang turut mempertikaikan tindakan peniaga di tepi jalan yang masih menjual ayam lebih daripada RM7.90 dan tiada pemantauan dilakukan terhadap mereka.

Seorang lagi peniaga, Mohd Zukri Arifin, 38, berkata mereka boleh mematuhi harga ditetapkan kerajaan melalui skim kawalan itu sehingga Aidilfitri depan namun biarlah keuntungannya sama seperti diperolehi sebelum ini.

Terdapat 11 jenis barangan tersenarai dalam skim harga kawalan di Terengganu kali ini antaranya ikan tongkol, telur, daging lembu tempatan, ikan selayang, daging kerbau import dari India dan ikan kembung yang bertujuan menyekat kenaikan harga tidak munasabah ketika Ramadan dan sambutan Aidilfitri. – BERNAMA

- Advertisement -