Pemuda PAS Tawau kumpul 51 beg darah

- Advertisement -

TAWAU: Dewan Pemuda PAS Kawasan Tawau (DPPKT) berjaya mengumpul 51 beg darah dalam program derma darah yang dianjurkan baru-baru ini.

Ketuanya, Ustaz Rosli Hasan berkata, program yang dikelola Jabatan Amal Malaysia (JAM) Tawau itu merupakan inisiatif DPPKT dalam membantu kekurangan bekalan darah di Hospital Tawau.

“Anjuran yang diadakan pada minggu pertama Ramadan ini akan diteruskan setiap dua bulan dan DPPKT terus komited menjalankan program-program seumpama ini.

- Advertisement -

“Tema ‘Jom derma darah, 1 penderma selamatkan 3 nyawa’ yang masih digunakan ini mampu memberikan kefahaman kepada masyarakat berkenaan kepentingan menderma darah,” katanya.

Beliau berkata, walaupun dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bulan Ramadan, usaha untuk membantu pasukan barisan hadapan serta masyarakat tetap diteruskan.

“Semua persediaan kami sudah buat dengan baik termasuklah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan kerajaan supaya semua yang terlibat terhindar daripada jangkitan wabak Covid-19,”katanya.

Ustaz Rosli turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuklah pihak Hospital Tawau, pemimpin PAS Tawau, Pemuda PAS Tawau, Dewan Muslimat dan orang ramai kerana bersama-sama menjayakan program ini.

“Walaupun terdapat kekangan pergerakan, mereka dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 21/4/2021

- Advertisement -