Semarak Ramadan santuni amilin, penduduk miskin

- Advertisement -

ALOR SETAR: Program Semarak Ramadan yang menjadi aktiviti tradisi PAS Kedah saban tahun tahun ini dimulakan lebih awal iaitu pada 25 Syaaban.

Program itu termasuk menyantuni amilin veteran dan penduduk kurang berkemampuan di seluruh Kedah.

Setiausaha Perhubungan PAS Kedah Ustaz Musoddak Ahmad berkata, pada program itu Ahli Jawatankuasa PAS negeri akan turun ke kawasan-kawasan yang ditetapkan.

- Advertisement -

Katanya pada program terbabit aktiviti ziarah, berbuka puasa dan sumbangan kepada penduduk miskin disusun PAS kawasan yang terlibat.

“Pada Ramadan ini program itu diadakan setiap Sabtu yang bermula 5 Ramadan dan dijangka berakhir pada 19 Ramadan.

“Program tersebut diadakan secara serentak di lima kawasan. Misalnya pada 5 Ramadan lepas diadakan di Sik, Alor Setar, Jerlun, Kuala Kedah dan Langkawi.

“Manakala pada 12 Ramadan ini pula akan diadakan di Kubang Pasu, Sungai Petani, Pasang Terap, Pokok Sena dan Pendang,” katanya ketika dihubungi di sini.

Pada 19 Ramadan pula program serupa akan diadakan di Kulim Bandar Baru, Padang Serai, Jerai, Baling dan Merbok.

Musoddak juga berkata, program yang diadakan pada Sabtu lepas berjalan lancar walau pun berlaku pertindihan terutama melibatkan Menteri Besar dan anggota-anggota Exco Kerajaan Negeri.

Namun kata beliau mereka juga sempat meluangkan masa hadir pada program yang ditetapkan.

Kata beliau juga PAS Kedah akan mengadakan majlis berbuka puasa dan sumbangan Hari Raya kepada kakitangan Pejabat Pentadbiran Kompleks PAS Kedah pada 10 Mei hadapan. – HARAKAHDAILY 19/4/2021

- Advertisement -