
YAN: Tindakan tegas akan dikenakan terhadap pengusaha ladang ayam yang gagal mematuhi peraturan sehingga mengganggu kegiatan harian penduduk di kawasan berdekatan.
Exco Pertanian, Industri Makanan, Peladangan dan Komoditi Kedah, Azman Nasrudin berkata, pengusaha yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang menjadi punca kehadiran lalat secara tidak terkawal akan diambil tindakan.
Katanya, tindakan itu termasuk diberi amaran, kompaun atau tidak memperbaharui lesen sekiranya pengusaha ladang gagal mengatasi masalah yang dibangkitkan penduduk.
“Kehadiran lalat dari ladang ayam itu turut diambil maklum kerana ia mengganggu aktiviti harian penduduk tempatan,” katanya ketika meninjau ladang ayam di Padang Lembu dekat sini semalam.
Hadir sama Exco Alam Sekitar, Perumahan dan Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Robert Ling Kui Ee dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah, Dr Shaharul Akmar Talib.
Azman juga berkata, perkara tersebut perlu dibendung memandangkan industri penternakan amat penting yang menyumbang keperluan makanan negara.
Bagaimanapun katanya pengusaha perlu mengelak memberi kesan sampingan kepada penduduk tempatan.
Difahamkan terdapat tujuh ladang ayam beroperasi di sekitar Padang Lembu yang dikatakan menjadi punca kehadiran jumlah lalat yang banyak.
“Hasil pemantauan dan semakan juga mendapati sebelum ini kita telah keluarkan kompaun pada 2018 kerana masalah sama.
“Selepas ini tindakan tegas akan dikenakan jika pengusaha terbabit masih gagal menyelesaikan masalah tersebut,” tambahnya lagi.
Sementara itu Dr Shaharul berkata, sebanyak 298 pengusaha ladang ayam dilesenkan di negeri itu.
Katanya juga sejak 2008 sebanyak lapan kompaun dikeluarkan terhadap pengusaha yang gagal mematuhi peraturan.
“Pengusaha ladang ayam yang gagal mematuhi peraturan dan SOP boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen Perladangan Unggas Negeri Kedah 2005,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 19/4/2021











