
KULAI: Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan tegas menangani kes video iklan judi raya yang tular baru-baru ini.
Menurut Ketua Penerangan DPPNJ, Mohd Firdaus Jaafar, walaupun PDRM telah membuat penahanan ke atas beberapa individu yang disyaki berlakon dalam iklan judi tersebut, beliau turut mendesak agar pihak PDRM terus memburu dan melakukan penangkapan serta pendakwaan terhadap dalang sebenar.
“Laporan polis yang dilakukan hari ini (18 April) adalah manifestasi kepada kekecewaan khususnya bagi seluruh pemuda PAS Johor terhadap isu yang dibuat secara sengaja mencabar kesabaran umat Islam.
“DPPNJ mengharapkan agar pihak SKMM terus membuang video sama yang dimuatnaik oleh pengguna akaun lain seperti yang terdapat di aplikasi Youtube bagi memastikan iklan perjudian ini tidak pula dijadikan bahan senda gurau dan provokasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab di masa akan datang.
“DPPNJ mengharapkan agar pihak berwajib dapat memberikan hukuman yang berat kepada dalang di sebalik video ini sebagai pengajaran agar isu yang melibatkan sensitiviti agama dan umat Islam seperti ini tidak lagi berulang di masa hadapan, ” kata beliau dalam satu kenyataan media, semalam.
Tambah beliau lagi, DPPNJ juga mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak yang telah menerbitkan video-video tersebut.
Mohd Firdaus dalam kenyataan itu turut menyeru kepada semua anak muda di luar sana agar tidak terlalu mudah terpengaruh dengan penawaran kerja yang akhirnya memalukan serta mengundang fitnah kepada diri, ahli keluarga dan seluruh umat Islam kerana masih banyak lagi cara untuk mencari pendapatan yang halal dan diberkati oleh Allah SWT di luar sana. – HARAKAHDAILY 19/4/2021











