PN-MN: PAS tidak ‘play safe’ atau pilih jalan selesa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pendirian PAS memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN) bukan langkah ‘play safe’ atau memilih jalan selesa untuk kepentingan parti sendiri.

- Advertisement -

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, PAS menyedari ketetapan diambil itu penuh dengan cabaran dan memerlukan jiwa besar bagi menempuhinya.

Tegas beliau, PAS akan tetap menjaga hubungannya dengan Umno dan BERSATU serta komited memastikan kedua parti yang tidak sependapat dan bertelagah itu akan dapat duduk bersama, berunding dan berbincang.

“Kalau kita ambil jalan selamat, kita dah hilang daripada politik Malaysia ini, dalam politik, dalam perjuangan, tidak ada mana-mana pihak yang akan selamat. Yang selamat, dia tak boleh masuk ke medan, ke tengah medan tempur di tengah-tengah padang.

“Siapa saja pun masuk tengah padang dia akan kena, dia akan, kalau main bola itu dia akan letih, paling kurang pun dia akan rasa. Jadi, PAS tidak pernah rasa begitu,” ujarnya pada Sinar Live membicarakan topik “Antara PN dan MN: Mana Satu Pilihan PAS?”, kelmarin dahulu.

Sebaliknya kupas beliau, usaha diambil oleh PAS itu ialah perjuangan para Nabi dan Rasul terdahulu sebagai pemimpin di mana berperanan untuk menyatukan manusia dan ia tidak berlaku dalam tempoh yang singkat.

Malah menurut beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, PAS sangat optimis akan dapat untuk menjayakan agenda penyatuan dan perpaduan ummah bermula dengan tiga parti utama itu.

“Kita kena merintis jalan ke arah itu. Sebab kita pemimpin, kitalah kena memimpin orang dan rakyat di bawah untuk ke jalan ke arah perpaduan, bukan jalan persengketaan.

“Kalau masing-masing berpegang kepada satu akidah, satu agama, satu kiblat yang sama, sama bahasa, sama jiwa, sama warna kulit, insyaAllah satu hari nanti dia akan menemui jalan penyelesaian.

“Kerana pertembungan di antara orang Melayu ini dah begitu lama, 60 tahun. Sehingga menyebabkan orang Melayu ini agak ketinggalan dari sudut penguasaan politik. Juga sebagaimana bangsa Arab dan lain-lain bangsa yang berpecah,” peringatnya.

Ustaz Afnan turut menyangkal terjahan hos, Raziatul Hanum A Rajak @ Atan bahawa apabila PAS mempertahankan PN bermakna PAS mengenepikan MN di mana perkara tersebut langsung tidak berbangkit sama sekali.

Tetapi PAS katanya, tetap konsisten bersama PN dan MN yang masing-masing ditunjangi BERSATU dan Umno kerana keduanya juga adalah platform untuk agenda penyatuan dan perpaduan ummah.

Kupas beliau, PAS tidak pernah menganggap MN telah terbatal, bahkan penyatuan dan perpaduan itu diusahakan merentas parti dengan menumpu agenda Islam, Melayu dan orang bukan-Islam yang tidak ekstrem.

Malah, beliau turut menolak bahawa sikap PAS itu merosakkan parti sendiri, kerana usaha penyatuan adalah tugas pemimpin dan sama sekali PAS tidak merasa kerdil dengan berbuat seperti dilakukannya.

“Banyak kaum bangsa di dunia ini yang bertelagah sesama sendiri sejak zaman para Nabi dulu, akhirnya berjaya disatukan. Syaratnya mereka bersama-sama dengan satu kiblat yang sama, satu tujuan yang sama. Dan apatah lagi bagi orang Islam orang Melayu yang satu akidah yang sama.

“Maka sudah tentulah jalan ke arah penyatuan itu sangat mudah kalau masing-masing mengenepikan politik peribadi, mengenepikan kepentingan masing-masing, pergi kepada apa yang Allah perintahkan, pergi kepada apa yang Quran nak, maka jalan itu jalan dah sedia ada.

“Jalan dah ada, kereta dah ada. Cuma driver saja kena tekan minyak, pulas steering, sampailah. Masalah sekarang ini driver masih duduk dekat situ, nak corner kiri corner kanan. So, driver tak tahu. So, signboard dah ada, Waze dah ada, jalan sajalah.

So, itu bukan benda yang sukar, ianya sangat mudah kalau kita ikut jalan yang dah sedia ada,” ujar beliau.

Beliau juga menyangkal anggapan PAS meraih keuntungan dengan situasi politik terkini di mana jumlah 18 Ahli Parlimen PAS secara logiknya adalah terlalu kecil untuk meraih sesuatu kepentingan.

Tegasnya, PAS tidak meletakkan keuntungan parti sebagai kepentingannya hingga tidak kisah siapa menjadi Perdana Menteri atau menguasai kerajaan asalkan Islam menjadi dasar yang dilaksanakan.

“Inilah beza politik Islam dengan politik Barat. PAS berpegang kepada politik Islam iaitu dasar ‘what’, bukan ‘who’, bukan siapa. So ini perkara yang saya kira dasar PAS yang tidak pernah berubah sampai sekarang. PAS konsisten dengan dasar tersebut.

“Dan apa sahaja yang berlaku PAS tidak anggap ianya merugikan PAS. Kalaupun ianya merugikan politik PAS, asalkan ianya menguntungkan Islam, maka bismillah, boleh jalan, boleh teruskan agenda tersebut, asalkan Islam untung, orang Melayu kita untung, khususnya dalam konteks di Malaysia ini.

“Sebab bagi kita yang penting ialah agenda Islam, agenda Melayu itu dipertahan diperkasakan. PAS ini adalah parti politik. Parti politik hanyalah alat, alat untuk membuat kebaikan, alat untuk menunaikan perintah tuhan, alat untuk rakyat dapat manfaat. Semua parti politik adalah alat.

So kita tak boleh hanya pertahankan kumpulan kita saja yang betul, kita saja mesti jadi ketua. Tak. Yang penting, dasar itu, polisi itu baik, betul. Maka jalanlah siapa pun jadi driver, driver itu bawa pergi ke jalan yang betul. Dia bawa dengan kelajuan yang betul, tak langgar undang-undang, driver itu jalanlah.

“Tak akan semua kita naik bas ekspres kita nak kena bawa, kita naik kapal terbang kita nak kena jadi pilot, kita naik keretapi kita kena bawa keretapi, penatlah macam itu. Masing-masing dah ada driver masing-masing, selagi mana destinasi dia betul, panduan dia betul, dia ikut signboard, ikut SOP, boleh jalan,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 5/4/2021

- Advertisement -