
PASIR MAS: Sejak usia 14 tahun seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU) lembam menyaksikan sendiri perbuatan bapanya yang mengambil dadah jenis pil kuda.
Bapanya berusia 50 dikatakan sering membawa bersama anaknya itu setiap kali membeli dan menagih dadah.
Sekarang usia remaja itu 16 tahun turut terlibat dalam kancah penagihan dadah kerana dipercayai terikut-ikut bapanya sendiri.
Akhirnya perbuatan berkenaan berjaya dihidu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan.
Pengarah AADK Kelantan, Rohayu Ahmad berkata, kedua-dua individu tersebut merupakan antara 149 individu yang ditahan oleh agensi itu pada Operasi Perdana yang dijalankan baru-baru ini.
Beliau berkata, remaja terbabit merupakan mangsa keadaan dan suasana tidak sihat, telah dipergunakan bapanya sendiri untuk mengaburi mata masyarakat terhadap perbuatan tidak bermoral.
“Daripada siasat kita mendapati bapanya sudah lama menggunakan dadah jenis pil kuda, malah sering membawa anaknya bersama untuk menutup pandangan orang ramai terhadap perbuatannya.
“Khidmat nasihat kepada keluarga terbabit supaya merujuk ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) bagi proses pemulihan,” katanya pada sidang media di AADK Pasir Mas di Lubok Jong di sini hari ini.
Rohayu berkata, individu yang ditahan terdiri daripada dua perempuan berusia antara 16 hingga 55 itu merupakan hasil tangkapan melalui operasi membabitkan seramai 23 pegawai dan 83 anggota.
Hasil ujian air kencing terhadap semua individu yang pertama kali ditahan AADK didapati positif menggunakan dadah dari jenis methamphetamine dan heroin.
Menurut beliau, operasi itu dilakukan bagi mengenal pasti mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah serta memberi rawatan dan pemulihan supaya keluar daripada kancah penggunaan dadah. – HARAKAHDAILY 31/3/2021











