Anggota Zon Maritim Kuala Perlis terima dos kedua

- Advertisement -

KANGAR: Seramai 67 pegawai dan anggota Zon Maritim Kuala Perlis melengkapkan dos kedua suntikan vaksin Comirnaty Pfizer-BioNTech di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, hari ini.

Mereka turut menggalas tanggungjawab sebagai petugas barisan hadapan di bawah Kementerian Dalam Negeri memerangi pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, suntikan vaksin dos kedua dilaksanakan secara berperingkat kepada warga Zon Maritim Kuala Perlis bermula 22 hingga 30 Mac bertempat di Dewan 2020 Kangar, di sini.

“Suntikan kedua dilakukan selepas 21 hari suntikan dos pertama yang bermula pada 1 hingga 9 Mac lalu di Klinik Kesihatan Kampung Gial, Arau, Perlis.

“Kesemua pegawai dan anggota yang mendapat suntikan dos kedua vaksin tersebut diberi tempoh masa selama 30 minit bagi pemerhatian dan pemantauan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia sekiranya berlaku reaksi susulan seperti alahan atau simptom lain,” katanya selepas menerima suntikan itu.

Beliau mewakili Maritim Malaysia menyeru kepada semua rakyat Malaysia terutama komuniti maritim untuk sama-sama mendaftarkan diri bagi pengambilan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

Katanya, mereka perlu mengambil bahagian di dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sebagai usaha meningkatkan imuniti kelompok dalam masyarakat supaya mempunyai daya tahan terhadap penyebab jangkitan virus tersebut. – HARAKAHDAILY 30/3/2021

- Advertisement -