
BACHOK: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed menyatakan Unit Perancang Ekonomi (EPU) telah mula menerima cadangan bagi merangka Belanjawan 2022 akan datang.
Kini, proses seterusnya adalah untuk merangka Belanjawan 2022 yang dijangka akan bermula pada April hingga Ogos nanti, katanya.
“Peruntukkan Belanjawan 2022 kita belum tahu jumlahnya, tetapi EPU sudah terima kebanyakan permohonan daripada kementerian. Mulai April kita akan perhalusinya dan kita jangka pada Ogos akan dimuktamadkan.
“Kemudian kita akan berunding dengan Kementerian Kewangan kerana mereka akan menentukan berapa peruntukkan yang dapat dibelanjakan untuk tahun 2022,” ujarnya. demikian beliau berkata pada sidang media selepas Program Malaysia Prihatin di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini, hari ini.
Turut hadir dalam majlis sama, Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Sementara itu, menurut Mustapa, antara permohonan yang telah diterima oleh kementerian tersebut termasuk peruntukan untuk menambah baik infrastruktur di seluruh negara.
“Kebanyakan proses berlaku di Unit Perancang Ekonomi untuk kita melihat kepada senarai keutamaan, jadi senarai itu sudah kita terima.
“Sudah pasti ia senarai yang panjang, ada yang berkaitan dengan pembinaan balai polis, sekolah, hospital dan jalan raya termasuk melibatkan penyelenggaraan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/3/2021











