Polis bagi notis sebulan penjaja di lampu isyarat

Datuk Shafien Mamat
- Advertisement -

KOTA BHARU: Polis Kelantan memberi notis selama sebulan kepada kumpulan penjaja di lampu isyarat sebelum mengarahkan mereka berhenti berniaga.

Usaha itu dibuat bukan untuk menutup pintu rezeki mereka, sebaliknya bagi kepentingan keselamatan bersama.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, tindakan saman yang dikenakan ke atas penjaja makanan ringan dan minuman di lampu isyarat juga bertujuan mendidik.

“Kami bukannya ingin menutup mata pencarian mereka, sebaliknya dilakukan kerana kepentingan keselamatan semua pihak.

- Advertisement -

“Sebelum ini, sudah ada beberapa kes yang hampir berlaku kemalangan antara penjaja dengan penunggang motosikal,” ujarnya di sini.

Katanya, bahaya bukan sahaja kepada mereka tetapi juga pengguna jalan raya.

Shafien berkata demikian sebagai mengulas tindakan saman yang dikeluarkan polis kepada 22 penjaja yang berniaga di kawasan persimpangan lampu isyarat sekitar daerah ini dalam satu operasi khas baru-baru ini.

Tambahnya, sekiranya polis mahu mengambil tindakan tegas sudah pasti setiap hari saman dikeluarkan kepada penjaja terbabit.

Beliau memberitahu, pihaknya juga menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai kegiatan penjaja yang disifatkan mengganggu perjalanan lalu lintas.

Beliau turut berkata, penjaja berkenaan boleh berniaga namun bukan di kawasan jalan raya, sebaliknya di tempat yang sesuai.

Sambungnya, pihak berkuasa mempunyai kuasa di bawah Akta Pengangkutan Jalan bagi mengambil tindakan terhadap mereka.

“Kita faham dalam suasana pandemik Covid-19 dan kekangan ekonomi sekarang, ramai orang mahu mencari pendapatan.

Bagaimanapun, nasihat saya cari kaedah yang lebih selamat. Kita tidak mahu berlaku kemalangan melibatkan mereka dan pengguna jalan raya,” katanya.

Difahamkan, kesemua penjaja berusia lingkungan 20-an itu disaman ketika sedang menjaja makanan dan minuman di sekitar Jalan Hamzah, Jalan Kuala Krai dan Jalan Lembah Sireh di sini baru-baru ini.

Mereka disaman mengikut Akta Lalu Lintas Jalan Raya dan tindakan boleh diambil di bawah 10A (1) LN 166/59 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya.

Penjaja yang disaman akan dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh sebulan dan berdepan denda maksimum RM2,000 jika sabit kesalahan. – HARAKAHDAILY 27/3/2021

- Advertisement -