
ALOR GAJAH: Kerajaan melalui Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) akan bekerjasama dengan Persatuan Graduan Jepun Malaysia (JAGAM) bagi mengenal pasti anak tempatan yang berpotensi untuk diberi latihan meningkatkan kemahiran dalam bidang tertentu di Jepun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Beliau berkata anak tempatan berkenaan akan menjadi modal insan berkemahiran tinggi bagi mengisi jawatan atau peluang pekerjaan di sektor tertentu dalam syarikat yang menerima pelaburan dari Jepun.
“Usaha ini masih di peringkat awal iaitu di peringkat persefahaman di antara kedua-dua pihak dan kalau persetujuan bersama dicapai dalam pelbagai aspek, ia akan direalisasikan.
“Ini kerana terdapat beberapa keperluan atau syarat yang perlu dipenuhi untuk menjayakan usaha ini seperti keperluan memohon permit kerja sebelum mendapat kebenaran bekerja di Jepun, dan setakat ini Malaysia tidak tersenarai antara lapan negara yang mendapat kelonggaran bekerja di Jepun,” katanya kepada pemberita selepas Program Ceria Ke Sekolah Parlimen Alor Gajah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata Yayasan Peneraju juga akan memberi kursus jangka pendek bahasa Jepun sebagai persediaan kepada anak tempatan yang terpilih untuk menjalani latihan di Negara Matahari Terbit itu.
Katanya usaha itu selaras dengan agenda negara untuk memastikan anak tempatan diberi keutamaan dalam mengisi peluang pekerjaan menerusi pelaburan dari pelabur luar negara, berikutan peratusan anak tempatan yang diberi peluang berkenaan agak rendah.
“Kita sedang membentuk dan menyusun satu struktur berkaitan pengambilan pekerja melibatkan pelabur asing supaya mereka yang telah dilatih atau mempunyai kemahiran khusus dapat diserap ke industri terlibat,” katanya. – BERNAMA











