PAS hadir PAU 2020

Isyarat ‘kebersamaan’ dalam MN - Dr Khairuddin

- Advertisement -

KUALA NERUS: Kesediaan PAS memenuhi undangan Perhimpunan Agung Umno (PAU) sebagai ‘isyarat’ kebersamaan parti itu dalam Muafakat Nasional (MN).

Setiausaha Majlis Syura Ulama’ (MSU) PAS, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, PAS berulang kali menegaskan bahawa parti itu akan memperkukuhkan Muafakat Nasional bersama dengan Umno dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, PAS sedaya upaya mungkin untuk mempastikan ketiga-tiga parti Melayu Islam ini sentiasa berada dalam kebersamaan.

“Seperti mana yang ditegaskan berulang kali oleh Presiden PAS, Dato’ seri Tuan Guru Abdul Hadi. Kita (PAS) memperkukuhkan Muafakat Nasional dan mempertahankan Perikatan Nasional.

- Advertisement -

“Kita (PAS) akan berusaha sedaya mungkin untuk mempastikan bahawa tiga parti utama orang Melayu Islam iaitu PAS, Umno dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) sentiasa berada dalam keadaan kebersamaan.

“Apabila Umno menjemput kita (PAS) dalam program Perhimpunan Agung Umno (PAU), yang bermula esok (27 Mac). PAS menghantar wakilnya dua orang iaitu Presiden dan Timbalan Presiden PAS sendiri,” ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata demikian selepas Majlis Bersama YB Menteri Kuala Nerus Cakna, di perkarangan Masjid Al-Mustaqim Kampung Gemuruh, Tepoh, Kuala Nerus, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Ustaz Wan Yusrizal Wan Shafei, Penghulu Mukim Tepoh, Razali Ismail dan Pengerusi Masjid Al-Mustaqim, Ustaz Abdul Manaf Hassan.

Menurutnya, kapasiti jemputan diperkecilkan kerana meraikan faktor pandemik Covid-19 yang masih berlaku di negara ini.

Ketika ditanya pemberita, apakah isyarat PAS kepada Umno kata beliau, itu isyarat kebersamaan bahawa PAS sentiasa bersama Umno dalam Muafakat Nasional.

“Isyaratnya ialah ‘kebersamaan’, bahawa PAS sentiasa bersama dengan Umno dalam Muafakat Nasional dan sebagaimana juga PAS bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Perhimpunan Agung Umno 2020 akan berlangsung selama dua hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 27 dan 28 Mac 2021.

Sebelum itu, seramai 200 keluarga daripada tiga Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) iaitu JPKK Kampung Gemuruh, JPKK Kampung Sungai Ikan dan JPKK Felda Belara menerima sumbangan masing-masing.

Turut hadir Pengerusi JPKK Sungai Ikan, Ismail Muda dan Pengerusi JPKK Felda Belara, Ustaz Wan Hassan Wan Mohd Zain. – HARAKAHDAILY 26/3/2021

- Advertisement -