750 agropreneur muda disasar tahun ini

- Advertisement -

TUMPAT: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mensyasarkan seramai 750 orang Agropreneur Muda dilahirkan tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM15 juta.

Timbalannya, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, program itu bertujuan membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam sektor agro makanan seperti tanaman, ternakan, perikanan, industri makanan dan agro pelancongan.

Katanya, Unit Agropreneur Muda ditubuh pada 2016 bertujuan menaik taraf dan mengaktifkan sektor terbabit sebagai usaha menarik minat anak muda di samping memberi bantuan geran dan pembiayaan khas.

- Advertisement -

“Kementerian menyediakan bantuan geran berbentuk barangan sehingga RM20,000 bagi projek baru dan menyediakan bantuan modal melalu Pakej Pembiayaan Khas Tekun Nasional sehingga RM50,000,” katanya pada sidang media selepas merasmikan kursus teknikal Agropreneur Muda di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Lembaga Pengairan Kemubu (KADA) Nik Roslan Idris dan Adun Wakaf Bharu Mohd Rusli Abdullah.

Che Abdullah juga berkata, seramai 16 agropreneur muda menerima kelulusan Geran Apgropreneur Muda (PAM) bagi tempoh Januari 2016 hingga Disember 2020 di Parlimen Tumpat yang berjumlah RM0.32 juta.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sebelum ini membantu seramai 6,969 agropreneur muda dengan nilai sebanyak RM126.23 juta sejak 2016.

Daripada jumlah itu seramai 6,908 peserta menerima bantuan dalam bentuk geran berjumlah RM121.96 juta. Manakala 61 peserta menerima bantuan dalam bentuk pembiayaan sebanyak RM4.26 juta. – HARAKAHDAILY 26/3/2021

- Advertisement -