
PASIR MAS: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan membantu seramai 6,969 agropreneur muda dengan nilai sebanyak RM126.23 juta sejak tahun 2016.
Timbalan Menterinya, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, daripada jumlah itu seramai 6,908 peserta menerima bantuan dalam bentuk geran berjumlah RM121.96 juta.
Manakala 61 peserta menerima bantuan dalam bentuk pembiayaan berjumlah RM4.26 juta.
“Program Agropreneur Muda adalah satu program khas yang disasarkan kepada kumpulan yang berumur di antara 18 hingga 40 tahun,” katanya sempena lawatan kerja Agropreneur Muda bertempat di dewan terbuka Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Pasir Mas, hari ini.
Ujar beliau, program itu bertujuan membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam sektor agro makanan seperti tanaman, ternakan, perikanan, industri makanan dan agro pelancongan.
Menurutnya kementerian menyediakan bantuan Geran Agropreneur Muda (GAM) sehingga RM20,000 manakala pakej pembiayaan sehingga RM200,000 melalui Agrobank.
Di samping itu juga, kursus dan latihan teknikal turut ditawarkan kepada kumpulan sasar melalui jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Pada 18 Mac lepas Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee melancarkan Program Pembiayaan Agro-Youth Enterpreneur Scheme (Agro-Yes).
Program Agro-Yes ini merupakan penjenamaan semula daripada pembiayaan khas Agropreneur Muda yang diperkenalkan pada 2018.
Pembiayaan Agro-Yes antara inisiatif kementerian menerusi Agrobank untuk menarik lebih ramai golongan muda yang berusia antara 18 sehingga 40 tahun menceburi bidang pertanian.
Pembiayaan itu bertujuan membantu usahawan muda membangunkan pertanian ke tahap yang lebih kompetitif seiring dengan teknologi masa kini. – HARAKAHDAILY 25/3/2021











