
KOTA BHARU: Sempena sambutan Hari Polis Ke-214 hari ini seramai 20 petugas media daripada pelbagai agensi termasuk Harakah menerima sijil penghargaan.
Harakah diwakili Ketua Biro Kelantan Salmah Mat Husain dan jurugambar Rizal Tahir. Turut menerima penghargaan serupa termasuk Utusan Malaysia, Berita Harian, RTM, Bernama, Astro, TV3, Sinar Harian wakil akhbar berbahasa Cina.
Sijil penghargaan itu antara lain dicatat “Saya berasa amat bangga dan sukacita apabila dimaklumkan bahawa anda sebagai wartawan Harakah Cawangan Kelantan telah memberikan komitmen dan kerjasama yang jitu dan berterusan kepada Polis Diraja Malaysia Kontijen Kelantan.”
Pada majlis itu seramai 62 menerima sijil penghargaan termasuk ahli Persatuan Keluarga Polis (Perkep), orang awam dan kakitangan PDRM.
Sijil tersebut disampaikan Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat yang turut disaksikan pegawai-pegawai kanan polis.
Manakala dalam perkembangan lain Shafien berkata, IPK Kelantan menawarkan potongan bayaran saman sebanyak 50 peratus.
Katanya, tempoh berkenaan diberi selama dua minggu bermula hari ini.
“Tawaran itu sebahagian daripada komitmen PDRM dalam membantu masyarakat untuk menyelesaikan bayaran saman mereka dengan kadar segera.
“Kepada pemilik kenderaan yang mendapat saman gunakan kesempatan selama dua minggu ini untuk menjelaskan saman dan ia boleh dibayar di mana-mana Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD),” katanya.
Menurutnya kaunter bayaran dibuka kepada orang ramai bermula jam 8.30 pagi hingga 4 petang kecuali Jumaat, Sabtu dan hari kelepasan am.
Polis Trafik Kelantan menyenaraikan 10 kesalahan yang ditawarkan diskaun antaranya saman berstatus bicara mahkamah.
Selain itu saman kesalahan potong ‘Q’ tahun 2020 dan 2021, saman kemalangan tahun 2020 dan 2021 dan saman berstatus waran tangkap tahun 2020 dan 2021. – HARAKAHDAILY 25/3/2021











