Kelantan rujuk KPM cari langkah terbaik pengoperasian sekolah

- Advertisement -

MACHANG: Isu pengoperasian persekolahan di negeri ini akan dibawa kepada perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) susulan penutupan sebuah sekolah di Ketereh, dekat sini ekoran penularan Covid-19, sebelum sebarang ketetapan dibuat, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

“Kes yang berlaku di sekolah berkenaan adalah kes terpencil. Namun apabila perkara ini (jangkitan Covid-19) telah berlaku di sekolah kita bimbang ia akan melibatkan sekolah lain pula jadi kita berharap ia tidak akan terus menular dan dapat dijadikan iktibar.

- Advertisement -

Saya juga akan menyampaikan pandangan kepada Menteri (Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin) apakah langkah terbaik yang boleh diambil bagi meneruskan persekolahan,” katanya kepada pemberita selepas  menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Kelab Belia Seri Warisan Pusaka Kemunchup bagi pembinaan bilik gerakan mereka, di sini, hari ini.

Buat sementara waktu, Mohamed Fadzli mahu pihak sekolah dan ibu bapa untuk terus kekal patuh kepada prosedur operasi standard dan norma baharu yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan KPM sepanjang sesi persekolahan.

Semalam media melaporkan, seramai 11 guru dan seorang murid di sebuah sekolah rendah di Ketereh didapati positif Covid-19 yang berkemungkinan berpunca daripada seorang guru sekolah berkenaan yang menghadiri majlis perkahwinan sebelum ia menjangkiti guru lain serta murid.

Susulan kejadian itu juga sekolah berkenaan telah diarahkan untuk ditutup bermula semalam dan seramai 24 orang guru lagi kini menjalani kuarantin. – BERNAMA

- Advertisement -