
PADA 22 Mac lepas, tiga pekerja maut manakala seorang pemandu kereta cedera parah apabila satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Sg Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Persiaran Alam Damai, Cheras.
Pada 3 Mac pula, satu kemalangan maut melibatkan lebuhraya yang sama dekat Desa Tun Razak. Dua wanita maut dan tiga lagi cedera parah apabila sebahagian daripada jejambat dalam pembinaan jatuh menghempap van kilang yang mereka naiki akibat dilanggar oleh treler yang membawa jentera berat.
Dalam kejadian terkini, Kementerian Kerja Raya pada hari yang sama mengarahkan kerja-kerja pembinaan dihentikan sementara waktu.
Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Seri Fadillah Yusof mengarahkan pemaju supaya mengemukakan laporan penuh berhubung kejadian dan pembinaan.
Menurut beliau, jalan raya di sekitar projek pembinaan itu turut ditutup sehingga tahap keselamatan disahkan benar-benar selamat.
Walaupun kerajaan bertindak pantas namun saya melihat rakyat terutamanya pengguna jalanraya belum benar-benar yakin dengan keselamatan mereka.
Dua kemalangan dalam tempoh kurang daripada sebulan yang mengakibatkan kematian dan kecederaan parah pengguna jalanraya sudah tentu memerlukan tindakan-tindakan yang lebih daripada itu.
Hari ini mereka yang memandu di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari Zoo Negara di Hulu Kelang ke Sungai Besi terpaksa melalui beberapa kerja-kerja pembinaan lebuhraya.
Ia merupakan pengalaman yang menggerunkan apabila terdapat kren yang mengangkat barang-barang binaan atau konkrit. Walaupun terdapat pekerja-pekerja yang mengawal, namun malang tidak berbau sepertimana kejadian pada 22 Mac lepas.
Selain dari itu laluan kenderaan pula kadang-kala berubah-ubah. Apabila terdapat kerja-kerja hendak dijalankan atau apabila barang-barang pembinaan telah sampai ke tapak maka trafik terpaksa dilencongkan.
Terdapat kes di mana papan-papan tanda yang disediakan lambat disedari oleh para pemandu yang boleh mengakibatkan kemalangan.
Begitu juga mereka yang memandu di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur dari Jalan Ampang hingga ke Taman Setiawangsa.
Mereka menghadapi risiko kerana terpaksa melalui kerja-kerja pembinaan lebuhraya yang berjalan di atas kepala mereka.
Hakikatnya terdapat banyak lagi pembinaan yang dijalankan di seluruh Lembah Kelang sama ada untuk projek lebuhraya atau projek MRT (Mass Rapid Transit) seperti itu. Selain daripada itu terdapat banyak lagi projek-projek kediaman atau komersial yang boleh mengancam keselamatan orang awam.
Bukan sahaja dua kes yang berlaku di tapak kerja-kerja SUKE yang meragut nyawa tetapi terdapat kes-kes lain yang melibatkan tapak-tapak pembinaan.
Selalunya rakyat tidak akan begitu cemas apabila kes-kes tersebut melibatkan hanya pekerja-pekerja tapak tersebut walaupun sebarang kehilangan nyawa perlu dipandang serius.
Tetapi jika ia melibatkan orang awam yang hanya secara kebetulan berada di tempat kejadian sudah tentu rakyat akan menuntut tindakan-tindakan yang drastik.
Walaupun banyak kes-kes kemalangan yang melibatkan pembinaan lebuhraya tidak menyebabkan kematian, namun ia cukup membimbangkan.
Sejak Januari 2018 terdapat lima kes sebelum tragedi bulan ini. Salah satu darinya melibatkan orang awam. Pada 19 September 2020, seorang wanita nyaris maut apabila kepingan konkrit daripada kerja-kerja pembinaan SUKE terjatuh dan menghempap kereta yang sedang dipandunya di MRR2.
Berikutan dua tragedi tersebut ada pakar yang mencadangkan agar Prosedur Operasi Standard (SOP) dikaji semula.
Ada juga yang mencadangkan supaya mereka yang bertanggungjawab menguruskan projek termasuk pekerja-pekerja biasa diberikan kesedaran melalui pelbagai kursus.
Memang SOP perlu dikaji semula dan diperketatkan kerana bagi sesiapa yang pernah melalui tapak pembinaan lebuhraya sudah tentu tidak akan merasa selamat.
Di salah satu tapak pembinaan yang pernah saya bertugas, seorang pekerja Indonesia maut apabila penyambung peranca (scaffolding) sepanjang 8 inci terjatuh dari tingkat atas dan mengenai kepalanya.
Justeru itu bukan sahaja kren atau kepingan konkrit boleh membunuh tetapi tukul besi yang jatuh dari aras yang tinggi boleh membunuh.
Kesedaran terhadap keselamatan melalui kursus-kursus dan taklimat-taklimat juga penting. Hari ini kebanyakan pekerja-pekerja adalah warga asing. Kursus ini penting bagi mereka.
Saya sentiasa berhati-hati apabila melihat seorang warga asing mengawal trafik pada jalan yang menjadi satu lorong di mana kenderaan dari kedua-dua hala terpaksa menunggu giliran mereka.
Kadang-kala terdapat pemandu yang enggan berhenti walaupun pekerja telah mengangkat bendera merah. Akibatnya kereta boleh bertembung. Mengangkat bendera juga perlu ada teknik.
Negara kita memiliki akta seperti Akta Kesihatan Dan Keselamatan Pekerjaan 1994, jabatan seperti Jabatan Kesihatan Dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH) dan institut penyelidikan seperti Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) yang khusus untuk menangani isu kesihatan dan keselamatan pekerjaan.
Tetapi ianya tidak bermakna jika tidak terdapat pemantauan yang terperinci lagi tegas dan pendakwaan serta hukuman yang menginsafkan.
Pemantauan pula mestilah oleh kerajaan dan bukan pemantauan dalaman. Tidak ada guna SOP yang ketat jika tidak dikuatkuasakan.
Selain daripada itu perancangan bandar-bandar kita terutamanya di Lembah Kelang boleh dipertikaikan. Segala-galanya dilakukan seolah-olah serentak. Pembinaan lebuhraya dan MRT ada di mana-mana.
Rakyat tidak dapat melihat ia mampu diuruskan dengan baik dan akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung kesusahan.
Anda tidak perlu memandu jauh di Lembah Kelang untuk bertemu dengan kerja-kerja lebuhraya, MRT malah pembentungan. Ternyata pelaksanaan secara serentak ini menimbulkan masalah kepada rakyat termasuk kesan kepada alam sekitar.
Saya tidak berkata ia tidak perlu tetapi uruskannya dengan baik. – HARAKAHDAILY 25/3/2021
Penulis merupakan Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat Dan Perumahan (REACH).











