
KUALA LUMPUR: Prinsip perjuangan PAS adalah memperkukuhkan hubungan ketiga-tiga parti PAS, Umno dan Bersatu demi tanggungjawab untuk Islam dan negara.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, PAS telah mengusahakan penyatuan ummah sejak Malaysia diperintah oleh Pakatan Harapan.
Beliau berkata demikian bahawa PAS mengambil posisi untuk mendukung sepenuhnya segala dasar yang telah diutuskan dan dibincangkan dalam kabinet kerajaan.
“Kita tahu terlalu banyak masalah, kemuncaknya ialah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).
“Besarnya ICERD ini, dan sekiranya ia dilaksanakan, dia akan mengubah keseluruhan perlembagaan negara.
“ICERD inilah yang telah menjadi titik penyatu di antara semua pihak berkepentingan mendukung usaha untuk menegakkan kedaulatan perlembagaan negara,” tegasnya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan moderator, Khairulanuar Yahaya dan Haszrul Mohamed dalam program bicara bertajuk ‘PAS Pendamai Bersatu, Umno’, yang bersiaran langsung di laman Facebook, Suara Merdeka jam tengah hari, tadi.
Namun begitu, ianya bermula dengan usaha bersama dengan Umno, NGO Islam dan tokoh-tokoh Islam selama 22 bulan untuk mengusahakan projek penyatuan ummah ni.
Ujarnya lagi, projek ini tidak berjaya jikalau hanya PAS dan Umno sahaja, kerana masih tidak cukup bilangan untuk membentuk kerajaan.
“Alhamdulillah dengan kesediaan rakan-rakan kita daripada BERSATU, sebahagian daripada pasukan Azmin Ali dalam PKR yang telah membuat pengorbanan yang besar untuk keluar daripada kerajaan Pakatan Harapan.
“Dan bersama dengan kami, Umno-PAS, dengan NGO Islam untuk membentuk sebuah kerajaan baru yang kerajaan ini telah diumumkan untuk mempertahankan kedaulatan perlembagaan negara yang di dalamnya termaktub perkara yang berkaitan dengan kedudukan Islam Bumiputera.
Justeru, dalam konteks ini tiada istilah ‘ada isteri pertama dan ada isteri kedua’ dan semua pihak katanya, memberikan satu sumbangan dan memberikan satu partisipasi yang sangat penting sehingga terbentuknya sebuah kerajaan.
Malah, kerajaan yang ada ini adalah kerajaan campuran bersama, PAS, BN, Bersatu, dan juga sebahagian PKR yang keluar daripada Pakatan Harapan.
Lalu, kerajaan ini adalah kerajaan bersama dan tanpa salah satu daripada pihak ini kerajaan akan runtuh.
“Semua pihak yang bersama di dalamnya adalah rakan sekutu PAS yang perlu PAS secara adili. Itu prinsip PAS pegang,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 24/3/2021











