
KOTA BHARU: Ketika sihat Pendekar Laut menanggung lima ahli keluarganya termasuk kedua ibu bapanya.
Selain arwah ibu, ayahnya Husain Mat Resat, 71, dua adik perempuan, Nor Husmafaizam, 41, dan Norhusma Shahilalaily, 36 serta dua anak saudaranya berkongsi rezeki hasil kederatnya.
Ramai yang mengenalinya Pendekar Laut sebagai seorang jurugambar.
Sentuhan gambar perkahwinan yang sering diambil Pendekar Laut atau nama sebenarnya Mohd Norhushahrulazuan Husain atau Azuan, 44, tidak pernah mengecewakan.
Kebolehan itu membuatkan nama Pendekar Laut dikenali ramai, bukan hanya di kalangan pelanggannya, sebaliknya rakan-rakan seperjuangan.
Sebagai jurugambar profesional pendapatannya mencecah sehingga RM10,000 hingga RM20,00 ketika musim perkahwinan terutamanya ketika cuti persekolahan.
Katanya beliau mengenakan caj antara RM1,500 hingga RM2,000 bagi setiap majlis perkahwinan.
Wan juga merupakan satu-satunya anak lelaki daripada lima beradik. Pendapatan hasil mengambil gambar majlis perkahwinan boleh menanggung keluarganya.
Bagaimanapun situasi itu tidak berlaku lagi, sebaliknya keluarganya pula yang menjaganya setelah beliau terlantar sakit dan kesihatannya menyusut secara tiba-tiba.
Mengharap ihsan orang lain
Sekarang beliau terpaksa mengharap ihsan lain selepas diuji sakit sejak lebih lapan bulan lalu.
Kesukaran itu terpaksa dilalui selepas disahkan menghidap penyakit kencing manis, buah pinggang tahap dua, darah tinggi dan kurang garam dalam darah pada Julai tahun lalu.
“Mulanya Wan tidak tahu apa penyakit yang dihidapi sebab tiba-tiba Wan jadi gemuruh, penat dan tidak bermaya sehingga nak berjalan tak boleh.
“Saya dimasukkan ke wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selama 11 hari dan keadaan menjadi lemah sehingga tidak mampu bekerja lagi.
“Masalah besar yang saya hadapi kerana kekurangan garam dalam darah yang menjadi punca tidak boleh bangun dengan sendiri apa lagi untuk berjalan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sedangkan sebelum ini beliau dikenali sebagai seorang anak yang bertanggungjawab. Pernah menjaga ibunya yang sakit. Bukan setakat memberi ubat kepada ibunya, sebaliknya membantu menyuap makanan dan mandikan ibunya ketika sakit.
Bagaimanapun itu pengalaman lampau yang kini hanya menjadi mimpi yang tidak mampu diulangi Azuan. Masa yang berlalu tidak mampu diulang kembali.
Semuanya dalam kenangan, kasih terhadap ibunya yang kini telah pergi selama-lamanya.
Dibantu wakil rakyat
Kisah kesukaran yang dihadapi keluarga Pendekar Laut turut mendapat perhatian Adun Tanjung Mas Rohani Ibrahim. Beliau beberapa kali menziarahi arwah ibunya ketika terlantar sakit.
“Begitu juga ketika Wan mula-mula sakit Kak Ani datang ziarah,” ujarnya ketika menziarahi bekas jurugambar terbabit baru-baru ini.
Sekarang Wan menggunakan wang simpanan yang ada bagi menampung hariannya. Selain itu beliau juga menjual sabun membasuh dan pencuci pinggan di hadapan rumahnya di Kampung Langgar.
Mata Wan juga sudah kabur dan tidak boleh nak fokus pada lens kamera.
“Wan tengok smartphone pun dari jarak dekat, kalau agak jauh sikit tak berapa nak nampak,” ujarnya.
Menerima ujian Allah ke atas dirinya dengan penuh reda malah menjadikannya semakin bersemangat.
Beliau mengakui agak sedih selepas tiba-tiba tidak mampu berjalan. Bagaimanapun beliau bersyukur kerana kesihatannya kembali baik.
Wan memerlukan sekitar RM300 sebulan untuk keperluan hariannya. Peruntukan itu untuk membeli lampin pakai buang dan kos rawatan.
Bagaimanapun beliau bersyukur kerana rakan-rakan seperjuangan sering datang membantu. Selain itu saudara mara juga turut membantu.
“Kak Ani akui Wan anak yang baik, tolong jaga ibu ketika sakit, mencari rezeki untuk menampung keluarga dan sebagainya,” ujar Adun Tanjung Mas. – HARAKAHDAILY 24/3/2021











