PAS giatkan daftar pemilih di DUN Pulau Manis

- Advertisement -

PEKAN: PAS DUN Pulau Manis menggiatkan lagi kesedaran awam mengenai tanggungjawab memilih pemimpin apabila mengadakan kempen Pendaftaran Pemilih Baharu di Pasar Pagi Jaya Gading, di sini kelmarin dahulu.

Kempen ini bertujuan untuk menggalakkan masyarakat melakukan pendaftaran pemilih yang mana rekod menunjukkan masih ramai dalam kalangan anak muda terutamanya Melayu-Islam yang belum berbuat demikian.

- Advertisement -

Hadir memberi sokongan ialah pimpinan Muslimat PAS Kawasan Pekan iaitu Pengarah Jentera Pilihan Raya, Rosnah Wook dan Pengerusi Lajnah Dakwah, Ustazah Nalida Nara serta Pengerusi Lajnah Ekonomi, Norhayati Abu Bakar.

Turut sama adalah Pengerusi PASTI Al-Hikmah Indera Sempurna, Redhuan Ngah dan Pembantu Pendaftar Pemilih PAS Pekan, Hamdan Hamzah yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR).

“Kempen yang digerakkan hari ini berjaya mencapai bahkan melebihi sasaran yang ditetapkan. Ramai lagi petugas PAS yang diberikan kursus khas oleh pihak SPR sejak dahulu lagi,” ujar Hamdan.

Beliau menjelaskan demikian berikutan terdapat pihak yang tersilap menyangka bahawa PAS tidak mempunyai kebenaran daripada pihak SPR dalam menjalankan aktiviti pendaftaran pemilih seperti itu.

Selain pendaftaran pemilih, orang ramai yang berkunjung ke kaunter yang disediakan itu juga boleh melakukan semakan kawasan lokaliti tempat mereka mengundi kerana ia mungkin telah dikemaskini oleh pihak SPR

Menyedari kesedaran dalam memenuhi amanah kepada rakyat Malaysia, Penyelaras Program, Rosli Ismail pula berkata, program tersebut akan digiatkan dari masa ke semasa di seluruh lokasi dalam DUN ini. – HARAKAHDAILY 24/3/2021

- Advertisement -