Darurat: Speaker akur tiada persidangan Dun

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebagaimana lazimnya persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan pada awal tahun diadakan setiap Mac.

Bagaimanapun disebabkan pengisytiharan Proklamasi Darurat bermula 11 Januari sehingga 1 Ogos hadapan menyebabkan tiada persidangan Dun atau parlimen diadakan sepanjang tempoh tersebut.

Speaker Dun Kelantan, Dato’ Abdullah Ya’kub berkata, berdasar jadual persidangan Dun Kelantan berlangsung pada Mac kemudian diikuti Jun, Oktober atau November.

- Advertisement -

Katanya persidangan Dun pada akhir tahun bagi pembentangan Belanjawan Negeri oleh Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub.

“Sekiranya proklamasi darurat berakhir 1 Ogos dan anggota Parlimen dipanggil untuk bersidang, kita juga akan berbuat perkara yang sama.

“Perkara itu turut dipersetujui Speaker-speaker seluruh Malaysia,” ujarnya di sini.

Pada 11 Januari lepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau lebih awal jika angka positif positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Bagaimanapun anggota parlimen pembangkang mendesak supaya diadakan persidangan parlimen biarpun tempoh darurat akan berakhir pada 1 Ogos hadapan.

Bagaimanapun Menteri Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang Dato’ Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan sebelum ini tidak ada persidangan parlimen sepanjang tempoh pengisytiharan darurat.

Abdullah juga berkata, perkembangan persidangan Dun atau parlimen
bergantung sepenuhnya kepada kerajaan Persekutuan.

“Setiap apa yang diputuskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan diikuti negeri-negeri termasuk Kelantan” katanya. – HARAKAHDAILY 24/3/2021

- Advertisement -