Tindakan diambil atasi masalah bekalan air HRPZ II

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan beberapa tindakan telah dilaksanakan bagi mengatasi gangguan bekalan air di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu.

SPAN menyatakan demikian sebagai merujuk kepada laporan akhbar yang telah disiarkan melalui media massa pada 21 Mac lalu berhubung isu berkenaan.

Menurut SPAN, untuk tindakan jangka panjang, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Tanjung Mas daripada kapasiti 10 juta liter sehari (JLH) kepada 30 JLH, bagi mengatasi ketidakcukupan bekalan air daripada loji-loji sedia ada yang membekalkan bekalan air ke hospital tersebut.

- Advertisement -

“Projek dengan anggaran kos sebanyak RM50 juta ini, adalah di bawah pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan dijangka siap pada penghujung tahun 2023,” ujar SPAN dalam satu kenyataan, malam tadi.

Secara keseluruhan, katanya Kerajaan Persekutuan melalui PAAB melaksanakan projek menaik taraf tiga loji rawatan air termasuk LRA Tanjung Mas dengan anggara kos sebanyak RM176 juta, bagi meningkatkan kapasiti reka bentuk kepada 80 JLH bekalan air di negeri Kelantan.

Tambahnya, Kerajaan Persekutuan melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) telah melaksanakan projek penggantian paip sepanjang 42 km di bandar Kota Baharu.

“Projek ini bertujuan untuk menambah baik pembekalan bekalan air ke bandar Kota Baharu dan kawasan sekitarnya. Projek ini telah siap dan mula beroperasi pada 8 Mac 2021,” jelasnya.

Menurut SPAN, projek penggantian paip sepanjang lebih kurang 225 km sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui PAAB di seluruh negeri Kelantan, dan melibatkan anggara kos sebanyak RM 88 juta.

Katanya, ia bertujuan untuk mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) dan menambah baik pembekalan air di negeri Kelantan.

SPAN juga, ujarnya telah meluluskan projek pembinaan paip secara terus dari Tangki Merbau ke HRPZ II.

“Projek ini akan dilaksanakan oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan dijangka akan siap dan mula beroperasi selewat-lewatnya pertengahan Julai 2021,” kata SPAN lagi.

Sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, jelasnya AKSB telah melaksanakan kerja-kerja pengalihan paip t-off bagi menangani masalah gangguan bekalan air di HRPZ II susulan daripada penyiapan dan pengoperasian projek penggantian paip lama kepada paip baru yang dilaksanakan oleh PAAB di Bandar Kota Baharu.

Setelah penukaran paip itu, katanya kadar aliran air ke HRPZ II adalah berjumlah 32 hingga 42 m3/jam bagi wad lama dan 15 hingga 17 m3/jam bagi wad sajian serta 10 hingga 13 m3/jam bagi wad Fasa 1.

Tambahnya, kerja-kerja penukaran itu telah siap dilaksanakan pada 22 Mac 2021.

“Selain daripada itu, SPAN juga telah melaksanakan program khidmat masyarakat dengan membina satu sistem tangki sedutan bawah tanah berkapasiti 13,500 liter.

“Sistem ini telah mula beroperasi pada 5 November 2020 bagi membekalkan bekalan air ke wad lama hospital tersebut,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 23/3/2021

- Advertisement -