Bergolak gadai cari modal berniaga semula

Foto hiasan.
- Advertisement -

KANGAR: Golongan peniaga di Perlis menyambut baik langkah kerajaan membenarkan bazar Ramadan kembali beroperasi seperti biasa Ramadan kali ini.

Kata mereka peluang itu sudah lama ditunggu selepas tidak berpeluang mencari rezeki pada Ramadan tahun lepas disebabkan pandemik Covid-19.

Covid-19 yang mulai merebak di seluruh dunia menyebabkan kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dengan menghadkan pergerakan orang ramai bagi mengelakkan penularan wabak.

- Advertisement -

Berita gembira itu diumumkan kerajaan pada 16 Mac lepas, termasuk membenarkan solat tarawih di surau serta masjid.

Seorang peniaga ayam gunting, Mohd Fahmi Othman, 29 berkata keputusan itu amat ditunggu peniaga setelah bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi tahun lepas.

“Bila diumumkan bazar Ramadan dibenarkan beroperasi tahun ini, saya rasa amat bersyukur. Malah sudah ada senda gurau bersama rakan-rakan yang sudah lama tidak didengari.

“InsyaaAllah inilah masa untuk kembali bernafas setelah setahun lebih di landa ujian besar bahkan ada yang terpaksa bergolok gadai mencari modal untuk dijadikan wang pusingan berniaga,” katanya ketika ditemui di sini.

Kebenaran yang diberi kerajaan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) termasuk pengunjung perlu berdaftar dengan aplikasi MySejahtera serta pintu masuk dan keluar yang berbeza.

Seorang lagi peniaga, Thoriq Zainal, 22 turut merasa lega dengan pengumuman kerajaan tersebut.

“Saya baru sahaja memulakan perniagaan bermula Ogos lalu selepas tamat pengajian dan pastinya ia memberi kelegaan untuk menjana pendapatan serta mencari pengalaman baharu,” katanya.

Beliau juga berharap pengunjung dan orang ramai mengamalkan kawalan kendiri ketika mengunjungi Bazar Ramadan tahun untuk mengelak muncul sebarang kluster.

Umat Islam di negara ini dijangka akan menjalani ibadah puasa bermula 13 April depan. – HARAKAHDAILY 22/3/2021

- Advertisement -