
KOTA BHARU: Program Malaysia Prihatin akan diadakan di peringkat jajahan seluruh Kelantan setelah negeri ini menjadi negeri pertama pelancaran program tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, berkata program berkenaan diadakan untuk mengetahui maklum balas berkaitan rakyat di seluruh negara menerusi pelbagai perkara.
Menurutnya, program berkenaan akan diadakan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Ia akan melibatkan semua menteri daripada menteri yang ada di setiap negeri dari seluruh negara.
“Mereka di arah turun ke negeri-negeri dalam program ini dan akan memberi penerangan berkaitan bidang masing-masing,” ujarnya.
Menurutnya, mereka akan berjumpa dengan kakitangan kerajaan dari warga pendidik, pemimpin masyarakat dan sebagainya untuk mengambil maklum balas berkaitan masalah yang mereka hadapi.
Beliau berkata, antara tujuan program berkenaan diadakan untuk memberi penerangan, takimat dan libat urus.
“Keduanya, untuk mendapat maklum balas dari rakyat berkaitan masalah yang mereka hadapi sama ada berkaitan ekonomi, pekerjaan dan sebagainya.
Tegasnya, dari situ setiap menteri atau timbalan akan membawa rungutan rakyat ke peringkat atas untuk dibincangkan bersama-sama di peringkat jemaah menteri.
Tambah Takiyuddin program itu akan diadakan sepanjang tempoh darurat diadakan.
“Kami diminta membuat satu laporan berkala untuk dihantar terus pada perdana menteri.
“Hari ini penerangan yang diberi berkaitan ekonomi dan undang-undang kepada kakitangan kerajaan negeri dan Persekutuan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.
Pada masa yang sama, beliau berharap hubungan baik antara kakitangan kerajaan negeri dan Persekutuan erat sebagaimana hubungan kerajaan negeri dan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 21/3/2021











