
KOTA BHARU: Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan menganjurkan Program Malaysia Prihatin bertempat di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu, pada Ahad.
Program ini merupakan inisiatif kerajaan bagi memberi penerangan di seluruh negeri ini secara berperingkat untuk memaklumkan rakyat mengenai pentingnya pengurusan pandemik Covid-19 dalam proses pemulihan ekonomi negara.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dengan kehadiran seramai 200 penjawat awam kerajaan Persekutuan dan negeri Kelantan.
Sesi penerangan dimulakan dengan pembentangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, yang menyentuh tentang Proklamasi Darurat yang sedang berkuat kuasa dalam memerangi penularan pandemik Covid-19.
Seterusnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed membentangkan tentang situasi ekonomi semasa serta langkah-langkah pemulihan ekonomi negara yang diambil kerajaan bagi memastikan aspek kesihatan dan kelangsungan hidup dapat diseimbangkan.
“Pelaksanaan darurat membolehkan kerajaan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha mengawal penularan Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara” kata Mustapa.

Beliau juga dalam pembentangannya menyentuh lima fokus utama yang menjadi tunggak pemulihan ekonomi negara antaranya mengawal penularan Covid-19 bagi membolehkan pembukaan semula ekonomi.
Selain itu, memperkukuhkan agenda keterangkuman agar jurang pembangunan antara wilayah dan jurang ekonomi dalam masyarakat dapat dikurangkan serta transformasi ekonomi sebagai asas sumber ekonomi baharu yang berasaskan pengetahuan dan inovasi.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan pada masa kini dapat memastikan jentera pentadbiran dan agenda pembangunan berjalan dengan lancar demi kesejahteraan rakyat khususnya di negeri Kelantan.
Turut hadir sama dalam majlis berkenaan, Timbalan Ketua Pengarah (Makro), Dr. Zunika Mohamed, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri – HARAKAHDAILY 21/3/2021











