PEMERKASA: Sinar untuk sektor pelancongan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) memberi sinar dan harapan buat pengusaha-pengusaha di sektor pelancongan yang sebelum ini teruk terkesan akibat pandemik Covid-19.

Bahkan, banyak syarikat yang terpaksa gulung tikar disebabkan sektor itu seolah-olah terhenti sepenuhnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB), kata Presiden Rahmat Care, Ustaz Mohammad Ibrahim.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Cina berkata, tindakan kerajaan berusaha memberi suntikan untuk memulihkan sektor tersebut merupakan satu langkah yang prihatin.

- Advertisement -

Ini membuktikan bahawa kerajaan benar-benar cakna dengan segenap lapisan masyarakat, bukan hanya sekadar memfokuskan kepada industri-industri tertentu sahaja.

Jelasnya, agensi pelancongan selepas ini bakal menikmati bantuan RM3,000 dan RM600 buat pengusaha homestay yang berdaftar dengan MOTAC.

Malah, bagi menggalakkan rakyat merancakkan lagi aktiviti pelancongan, kerajaan memberi pelepasan cukai sebanyak RM1,000, ujarnya.

Tambah Ustaz Mad Cina lagi, beliau turut berharap pelan kerajaan untuk mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok daripada kepada penghujung tahun ini dapat dilaksanakan dengan jaya supaya ekonomi negara kembali pulih.

Ini akan merealisasikan hasrat kerajaan untuk tidak melaksanakan PKP secara menyeluruh seluruh negara atau negeri yang mana memberi petanda yang baik kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Bagaimanapun kata beliau, usaha-usaha kerajaan sebelum ini melahirkan banyak pengusaha harus ditonjolkan.

Hal ini kerana, kerajaan banyak menghulurkan bantuan-bantuan untuk pengusaha, namun hasilnya masih suam-suam suku atau tidak menampakkan hasil pada mata rakyat.

“Barangkali masih terlalu awal, dan saya faham ia masih pada proses permulaan. Cuma sayanglah kalau ramai pengusaha yang berjaya, tetapi rakyat tidak nampak sebab tidak ditonjolkan,” ujarnya kepada Harakah, pada Jumaat.

Pada 17 Mac, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan berkemungkinan tidak perlu lagi melaksanakan PKP secara menyeluruh merangkumi seluruh negara atau sesuatu negeri.

Sebaliknya, kawalan pergerakan hanya dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja.

Dalam Pengumuman Khasnya itu, sebanyak 20 inisiatif akan dijalankan dalam PEMERKASA yang memfokuskan pemulihan dan pemerkasaan ekonomi sepanjang tahun 2021. – HARAKAHDAILY 19/3/2021

- Advertisement -