
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyokong penuh tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan rayuan penggunaan kalimah Allah ke Mahkamah Rayuan pada 16 Mac lalu.
Menurut Ketua Penerangannya, Dr Najihatussalehah Ahmad, kalimah Allah berbeza dengan kalimah tuhan yang mana Allah merupakan suatu perkataan universal yang digunakan oleh umat Islam seluruh dunia.
“Berbeza dengan tuhan dalam Bahasa Melayu dan ‘God’ dalam Bahasa Inggeris.
“Kalimah Tuhan digunakan oleh penganut agama lain dengan menggunakan bahasa masing-masing,” katanya.
Justeru itu, kata beliau, kalimah Allah tidak boleh diterjemah dalam bahasa lain kerana tiada suatu perkataan yang dapat menterjemahkannya bagi menggambarkan maksud perkataan tersebut.
“Kalimah Allah merupakan nama Allah yang paling besar dan menepati maksud Tuhan yang Esa, tidak ada tuhan selain daripada-Nya,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau lagi, walaupun kalimah Allah pernah digunakan oleh penganut agama lain terutama di zaman Jahiliah, namun kalimah tersebut telah digunakan secara salah dan tidak menepati maksud sebenar sebagaimana umat Islam.
“Biarpun dalam Islam tidak ada suruhan melarang agama lain menyebut nama Allah namun apa yang menjadi kebimbangan ialah penggunaannya yang disalah guna malah bakal mengelirukan umat Islam terutamanya golongan kanak-kanak, remaja dan juga mualaf.
“Maka demi menyelamatkan keharmonian negara yang mempunyai masyarakat majmuk berbilang kaum, pihak kerajaan perlu bertindak dengan segera terhadap isu ini.
“Sesungguhnya isu kalimah Allah ini menggugat kesucian agama yang kita cintai ini. Semoga agama Islam terus dipelihara dan dijaga dengan sebaiknya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/3/2021











