Gerakan dakwah bukan milik kumpulan tertentu sahaja

- Advertisement -

KANGAR: Usaha dakwah di negara ini perlu dijadikan agenda utama semua pihak dan tidak hanya tertumpu kepada kumpulan tertentu sahaja.

Ketua Dewan Muslimat PAS Perlis Ustazah Latifah Mat berkata, peranan itu perlu dimainkan pelbagai pihak bagi memastikan tanggungjawab itu lebih menyeluruh.

Katanya peranan tersebut turut dipikul PAS, di mana bukan hanya sekadar berpolitik semata-mata.

“PAS turut memainkan peranan dalam aktiviti dakwah bagi menyebarkan maklumat, perkongsian ilmu serta menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat.

- Advertisement -

“Apa yang diusahakan hari ini bersesuaian dengan kehendak semasa terutamanya menyebarkan kebaikan Islam kepada seluruh ummah,” katanya selepas perjumpaan dengan Pengarah YADIM Perlis Hafsah Husain di Kompleks PAS Perlis hari ini.

Turut hadir Setiusaha Dewan Muslimat PAS Perlis Noor Hafiza Mansor dan Ahli Jawatankuasa Muslimat negeri Shahirah Salleh.

Latifah juga berkata, melalui perjumpaan itu Dewan Muslimat dan YADIM merancang program bersama yang turut melibatkan masyarakat bukan Islam di Perlis.

Menurutnya kolaborasi kedua-dua pihak terbabit secara tidak langsung dapat mengoptimumkan lagi aktiviti dakwah dengan melibatkan lebih banyak pihak.

“Langkah yang diambil YADIM menjalankan kerjasama tersebut amat tepat kerana ia akan menjadi platform penyaluran maklumat dengan lebih tersusun,” ujarnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain Muslimat Dun Guar Sanji dengan kerjasama PAS Cawangan Kampung Sena dan Kampung Jelempok mengadakan program Ziarah Cakna golongan warga emas.

Lawatan yang diketuai Ustazah Latifah menyantuni seramai 26 penduduk di Kampung Sena dan Jelempok. Turut serta Ahli Jawatan Kuasa Dewan Muslimat PAS Arau Hajar Abu Bakar.

Sempena program ziarah terbabit mereka menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada penduduk yang terjejas akibat pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 18/3/2021

- Advertisement -