Lompat: Tak sangkut paut apapun dengan PAS

- Advertisement -

YAN: PAS tiada kena mengena dengan kejadian lompat parti yang melibatkan pemimpin komponen Pakatan Harapan, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sepatutnya parti dan individu yang lompat itu yang perlu dipersoalkan dan dipersalahkan.

“Parti lain lompat parti, salahkan PAS pula. Orang yang salahkan PAS tu orang bodoh.

“Tak sangkut paut apapun dengan PAS. Salahlah parti yang lompat dan orang yang lompat tu,” kata beliau.

- Advertisement -

Beliau juga menyanggah kononnya kejadian itu memberi keuntungan kepada PAS sedangkan insiden itu tiada kena mengena dengan parti itu.

“Pasal apa nak cari pasal dengan PAS? Apa PAS buat dengan mereka?” soalnya lagi.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menegaskan ahli dan pemimpin PAS yang ada sekarang tidak akan melakukan tindakan seumpama itu.

“Yang ada dalam PAS kini semuanya hati ikhlas belaka. Yang tak ikhlas semua sudah lompat dah.

“Kalau masih lagi cari salah dengan PAS, orang itu sebenarnya mempunyai masalah mental,” sambung beliau lagi dalam sidang media di Pejabat Daerah Yan, hari ini.

Hal berkenaan katanya samalah dengan pihak yang sering kali menyalahkan menteri dan ahli parlimen PAS apabila timbulnya isu-isu perundangan negara.

Sedangkan ujarnya wakil parti itu hanya 18 kerusi berbanding parti lain yang mempunyai 42 hingga 47 kerusi.

“Apa-apa salahkan wakil PAS yang 18 orang ni. Hairan juga, mereka ni sakit apa sebenarnya.

“Kita ada kerusi sikit, modal kecil nak suruh beli macam-macam.

“Modal RM18 agak-agaklah beli barang RM18, mana boleh beli barang harga RM100 atau RM200,” bidas beliau.

Sementara itu dalam hal lain, Adun Jeneri itu tidak bermasalah andainya Adun Pengkalan Batu, Dato’ Norhizam Hassan Baktee ingin menyertai PAS.

“Saya tak boleh halang orang nak sokong atau sertai PAS. Adun Pengkalan Batu ini dulu DAP sekarang isytihar Bebas. Nak jadi ahli PAS, alhamdulillah.

“Kalau dia nak pakai serban, saya boleh hadiahkan serban kepadanya. Semoga dia mendapat pahala,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 17/3/2021

- Advertisement -