
KUALA LUMPUR: Tindakan pantas kerajaan menfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan penganut Kristian selaras dengan kehendak majoriti umat Islam di negara ini.
Dalam satu kenyataan oleh Pengerusi bersama Muafakat Nasional (MN) Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Tan Sri Noh Omar berkata majoriti masyarakat Islam di negara ini bimbang dengan keputusan itu yang dilihat boleh menggugat sensitiviti umat Islam.
“Sesungguhnya rayuan ini selaras dengan kehendak majoriti masyarakat Islam dalam negara yang cukup resah dan bimbang dengan keputusan Mahkamah Tinggi ini yang dilihat menggugat sensitiviti umat Islam dan boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Muafakat Nasional Selangor berpendirian bahawa keharmonian antara rakyat berbagai bangsa dan agama perlu dikekalkan tanpa memberi sedikit pun ruang yang boleh menjejas dan memporak-perandakan kestabilan yang ada.
Jelasnya, Islam sebagai agama resmi Persekutuan perlulah sentiasa dihormati oleh semua pihak.
Malahan katanya semua amalan agama suci ini tidak digugat termasuk hak menggunakan kalimah Allah yang selama ini tidak pernah diganggu mana-mana pihak.
“Semoga rayuan ini berjaya dipertimbangkan dan mendapat keputusan yang paling saksama agar rakyat Malaysia dapat kekal hidup aman damai tanpa mencabar sebarang status quo dan amalan yang ada,” ujarnya.
Terdahulu, Kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Selain kalimah Allah, tiga lagi perkataan yang dibenarkan dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah Kaabah, Baitullah dan solat. – HARAKAHDAILY 16/3/2021











