
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor (DUPNS) menyokong usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membabitkan isu penggunaan kalimah Allah.
Menurut Ketua Peneranganya, Ustaz Mohammad Ibrahim, tindakan itu satu tindakan yang wajar saat ini memandangkan beliau berpendapat bahawa sekiranya ia dibiarkan, bakal menimbulkan salah faham kelak.
Bahkan ia turut dikhuatiri bakal berlakunya penyalahgunaan kalimah-kalimah tersebut oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak memahami maksud sebenar kalimah Allah, ujarnya kepada Harakah, hari ini.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Cina berkata, kalimah Allah seperti yang dijelaskan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum ini, pada dasarnya tidak boleh dilarang kepada sesiapa sahaja yang ingin menyebutnya.
Namun, jika tujuan penggunaan adalah untuk mengelirukan atau menghina penganut Islam, DUPNS yakin umat Islam tidak akan berpeluk tubuh membiarkan ia berlaku.
Justeru itu katanya, amat wajar keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini diteliti semula secara keseluruhan oleh Mahkamah Rayuan.
Sebelum ini, Tuan Guru Abdul Hadi dalam Minda Presiden menjelaskan bahawa kalimah Allah tidak boleh diterjemahkan kepada Tuhan, God, Ilah, Lord atau mana-mana perkataan yang bermaksud Tuhan.
Jelas Abdul Hadi, perkataan Allah merangkumi nama-nama yang terbaik, bahkan semuanya terkandung dalam satu perkataan sahaja iaitu Allah.
Pada 15 Mac, KDN dan Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Notis rayuan difailkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang menyatakan rayuan itu dibuat selepas tidak berpuas hati terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin pada 10 Mac lepas.
Hakim Nor Bee sebelum ini mendengar kes itu semasa menjadi Hakim Mahkamah Tinggi. Kini beliau adalah Hakim Mahkamah Rayuan.
Dalam keputusannya, Nor Bee memutuskan kalimah Allah boleh digunakan dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.
Selain kalimah Allah, tiga lagi perkataan yang dibenarkan dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah ‘Kaabah’, Baitullah dan ‘solat’.
Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata arahan oleh KDN pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan itu menyalahi undang-undang dan tidak rasional. – HARAKAHDAILY 16/3/2021











